Malaysia konsisten sokong lucut senjata nuklear

Bernama
April 27, 2020 20:24 MYT
Kementerian Luar dalam satu kenyaataan menyatakan Malaysia bergabung dengan Negara-Negara pihak, mendesak agar lebih banyak kemajuan dapat dicapai berkaitan pelucutan senjata nuklear. - Bernama
Malaysia secara konsisten menyokong pelucutan senjata nuklear di forum antarabangsa dan mendukung semua usaha ke arah penghapusan senjata nuklear secara menyeluruh.
Kementerian Luar dalam kenyataan di sini menyatakan dalam Triti Mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear (NPT), Malaysia bergabung dengan Negara-Negara Pihak, mendesak agar lebih banyak kemajuan dapat dicapai berkaitan pelucutan senjata nuklear.
"Sehubungan itu, Malaysia akan mempengerusikan Jawatankuasa Utama 1 Mengenai Pelucutan Senjata Nuklear pada Persidangan Kajian Semula Triti Mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear (NPT) 2020, apabila ia diadakan," menurut kenyataan itu.
Persidangan itu yang pada mulanya dijadualkan 27 April hingga 22 Mei, ditangguhkan ke tarikh lain berikutan pandemik COVID-19.
Kementerian itu juga menyatakan, sempena memperingati ulang tahun ke-50 NPT, Malaysia akan terus bekerjasama dengan Negara-Negara Pihak untuk memastikan pelucutan senjata nuklear kekal menjadi keutamaan dalam merealisasikan matlamat dunia bebas daripada senjata nuklear.
"Tahun 2020 adalah tonggak simbolik bagi NPT, kerana menandakan ulang tahun ke-50 sejak Triti mula berkuat kuasa pada tahun 1970 dan ulang tahun ke-25 sejak pelanjutan tanpa had tempoh Triti berkenaan pada tahun 1995.
"NPT telah memainkan peranan yang sangat berharga dalam menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa sepanjang lima dekad yang lepas, dengan mencegah percambahan senjata nuklear serta mengenakan kewajipan undang-undang terhadap lima Negara Senjata Nuklear untuk menghapuskan senjata nuklear mereka, ke arah dunia bebas senjata nuklear," menurut kenyataan itu.
NPT juga menjamin hak Negara-Negara Pihak untuk menikmati manfaat penggunaan tenaga nuklear secara aman yang kini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang, antara lain pertanian, alam sekitar, industri dan perubatan.
-- BERNAMA
#COVID-19 #forum antarabangsa #Kementerian Luar #keselamatan #koronavirus #NPT #pelucutan senjata nuklear #penghapusan senjata nuklear #Persidangan Kajian Semula Triti Mengenai Ketakcambahan Senjata N #undang-undang