MALAYSIA

Malaysia kukuhkan peranan ASEAN melalui penyelesaian konflik sempadan Thai-Kemboja

Bernama 09/08/2025 | 02:10 MYT
Delegasi Thailand (kiri) dan delegasi Kemboja (kanan), diketuai menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Luar Biasa (GBC) di Kuala Lumpur. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia memudahkan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja bukan sahaja meredakan ketegangan sempadan, malah mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemimpin dan pemudah cara utama dalam kerangka ASEAN.

Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Nor Aishah Hanifa berkata tindakan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN membuktikan keupayaan negara menggalas tanggungjawab serantau.

"Kejayaan Malaysia dalam diplomasi ulang-alik (shuttle diplomacy) semasa tercetusnya konflik sempadan Thai-Kemboja mempengaruhi kedudukan negara dalam diplomasi serantau. Hasil Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 7 Ogos membuktikan keberkesanan mekanisme ASEAN dalam menangani konflik serantau," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, peranan Malaysia mendapat pujian daripada negara lain serta sokongan Amerika Syarikat dan China, sekali gus mencerminkan penghormatan terhadap usaha negara mengekalkan keamanan serantau.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia menghantar pasukan pemerhati ke garisan sempadan dan menjadi perantara dalam rundingan sebagai sumbangan penting kepada kerjasama keselamatan ASEAN.

"Peranan Malaysia ini juga berpotensi menjadi model bagi penyelesaian konflik sempadan atau ketenteraan lain di Asia Tenggara. Ia membuktikan keyakinan negara-negara ASEAN terhadap kepimpinan Malaysia dan kewibawaan Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Nur Ashikin Yusof, berkata kejayaan tersebut mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang konstruktif dan berkredibiliti dalam diplomasi ASEAN.

"Kejayaan Malaysia sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja memperkukuhkan kedudukan negara dalam arena hubungan antarabangsa sebagai aktor yang berkredibiliti, berkecuali dan konstruktif," katanya.

Menurut Nur Ashikin, kejayaan ini menegaskan keperluan reformasi struktur keselamatan ASEAN bagi meningkatkan tindakan kolektif dan mekanisme pencegahan konflik.

"Kejayaan Malaysia ini harus dilihat bukan hanya sebagai kejayaan dua hala, tetapi sebagai dorongan kepada reformasi struktur keselamatan ASEAN secara menyeluruh termasuk memperkukuh mekanisme seperti Institut ASEAN untuk Keamanan dan Rekonsiliasi, Forum Maritim ASEAN serta Inisiatif Mata ASEAN," kata beliau.

Dalam konteks lebih luas, beliau berkata kejayaan ini membuka ruang untuk Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam isu keamanan global.

Sementara itu, Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs Dr Oh Ei Sun, berkata peranan Malaysia dalam memudahkan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja telah mengukuhkan kredibiliti negara sebagai Pengerusi ASEAN, selain menandakan kemungkinan perubahan pendekatan blok itu terhadap keselamatan serantau.

"Peranan ini turut mengeratkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat memandangkan kedua-dua negara bersama-sama menganjurkan rundingan damai tersebut. Sekiranya ASEAN menghantar pasukan pengaman atau pemerhati, ia akan menjadi kali pertama blok itu memainkan peranan proaktif dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan dalaman," katanya.

Oh berkata, walaupun perjanjian damai itu berpotensi menjadi model penyelesaian pertikaian sempadan atau ketenteraan lain di Asia Tenggara, Malaysia tidak wajar tergesa-gesa memperluaskan inisiatif keamanan ke luar rantau ini.

Ketegangan tercetus sejak 28 Mei lepas susulan pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pada 28 Julai, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat hasil mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat itu turut menyaksikan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, bersetuju mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

-- BERNAMA






#ASEAN #gencatan senjata #Malaysia #Thailand #Kemboja