Malaysia kutuk keras video ubah suai lirik lagu Indonesia Raya

Bernama
Disember 27, 2020 20:53 MYT
Satu video, dimuat naik di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara Indonesia. - Gambar hiasan
JAKARTA: Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi negatif yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video, yang menghina Indonesia.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan malam tadi, menegaskan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat video yang tular berkenaan.
"Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum akan sebuah video yang didakwa dimuat naik oleh warganegara Malaysia dan didakwa memperlekahkan dan menghina Indonesia.
"Sekiranya video itu didapati dimuat naik oleh warganegara Malaysia, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.
Satu video, dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, disunting liriknya yang menghina negara Indonesia.
Video di ruang komen di YouTube berkenaan telah dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.
-- BERNAMA
#Indonesia #Malaysia #Jakarta #video #media sosial #YouTube #ASEAN #kebencian #YouTube My Asean #menghina #undang-undang #lirik #rakyat Malaysia #lagu kebangsaan #Indonesia Raya