Malaysia kutuk serangan gereja, hotel di Sri Lanka

Astro Awani
April 21, 2019 08:21 MYT
Beberapa letupan telah berlaku di tiga gereja dan tiga hotel di Sri Lanka pada Ahad ketika sambutan Hari Easter.
Malaysia mengutuk serangan di gereja dan hotel di Colombo, Sri Lanka yang telah meragut seramai 138 nyawa dan mencederakan lebih 400 yang lain.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad turut memaklumkan, setakat jam 1.30 tengah hari ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam kejadian tersebut.
"Malaysia mengutuk serangan itu dan berharap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan. Ingatan dan doa kami sentiasa bersama mangsa dan keluarga yang terlibat.
"Rakyat Malaysia di sekitar kawasan itu dinasihatkan supaya berhati-hati, dan memantau perkembangan terbaru dari berita tempatan serta pihak berkuasa tempatan," kata Wisma Putra dalam kenyataan tersebut.
BACA: Tragedi Sri Lanka: 138 maut, Malaysia kemas kini perincian mangsa
Terdahulu, beberapa siri letupan telah berlaku di tiga gereja dan tiga hotel di Colombo, menyebabkan ratusan terbunuh dan cedera.
Letupan tersebut berlaku ketika penganut Kristian menyambut Hari Easter.
Hotel dan salah sebuah gereja tersebut berada di Colombo, manakala sebuah lagi gereja terletak di Negombo, utara bandar berkenaan.
Sumber polis memaklumkan, salah satu letupan tersebut berlaku di Gereja St Anthony di Kochcikade.
Angka tersebut dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa selepas pihak berkuasa mengemaskini jumlah terkini mereka yang terlibat.
#gereja dan hotel di Colombo #Gereja St Anthony #Kementerian Luar #Malaysia mengutuk serangan di Sri Lanka #sambutan hari easter #Sri Lanka #Wisma Putra