[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Malaysia, Kyrgyzstan senada iktiraf Afghanistan di pentas antarabangsa

Faida Rahim 25/06/2025 | 04:34 MYT
Anwar (kanan) bersama Presiden Zhaparov (kiri) ketika sidang akhbar khas di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu. -Astro AWANI
PUTRAJAYA: Malaysia dan Republik Kyrgyz senada menyuarakan sokongan agar Afghanistan diiktiraf semula oleh komuniti antarabangsa sebagai langkah penting untuk kestabilan serantau.

Ringkasan AI
  • Malaysia dan Kyrgyzstan menyuarakan sokongan agar Afghanistan diiktiraf semula oleh komuniti antarabangsa demi kestabilan serantau, dengan syarat tertentu.
  • Malaysia mengulangi pendirian tegas menyokong hak rakyat Palestin dan mengecam kekejaman Israel terhadap Gaza.
  • Kedua-dua negara komited memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan dalam pelbagai sektor strategik seperti pertanian, perlombongan, elektronik, dan tekstil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gesaan itu dibuat berikutan Malaysia menyokong pandangan Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov bahawa Afghanistan perlu kembali diterima komuniti antarabangsa.
“Kami turut menyentuh isu antarabangsa termasuk situasi di Afghanistan. Saya menyokong pandangan Presiden Zhaparov bahawa Afghanistan perlu kembali diterima komuniti antarabangsa dengan syarat-syarat tertentu.
"Sebagai negara yang lebih dekat dengan Afghanistan, anda (Kyrgyz) mempunyai pemahaman yang lebih luas dan kami pasti akan mendapat manfaat daripada nasihat dan pandangan anda mengenai hal ini," kata beliau.
Anwar berkata demikian pada sidang akhbar khas bersama Presiden Zhaparov di Kompleks Seri Perdana, di sini, sebentar tadi.
Untuk rekod, ketika ini, tiada negara di dunia secara rasmi mengiktiraf pemerintahan Taliban sebagai kerajaan yang sah bagi Afghanistan selepas kumpulan itu mentadbir negara berkenaan sebagai Emiriah Islam Afghanistan sejak 2021.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengulangi pendirian tegas Malaysia berhubung isu Palestin dan Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
“Malaysia menggesa Israel menghentikan segala bentuk keganasan, penjajahan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Kami menyokong penuh hak rakyat Gaza untuk hidup dalam keadaan aman dan berdaulat, selepas sekian lama dizalimi dan dikhianati oleh kegagalan masyarakat antarabangsa,” kata Anwar.
Dalam masa sama, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama dalam sektor pertanian, logam berharga dan perlombongan, elektrik dan elektronik, barangan industri, mesin dan peralatan, kimia, makanan terproses serta tekstil.
Kedua-dua pemimpin juga menekankan kepentingan kerjasama antara agensi dalam perdagangan dan eksport di antara kedua-dua negara.
Pagi ini, Zhaparov diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini, sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Ketibaan Zhaparov pada jam 9 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; dan barisan Jemaah Menteri, diplomat asing, serta pegawai kanan kerajaan.
#Afghanistan #Anwar Ibrahim #Kyrgyzstan #diiktiraf semula komuniti antarabangsa