NATIONAL

Malaysia, Laos setuju percepat fasa kedua Grid Kuasa ASEAN

Astro Awani 25/05/2025 | 06:33 MYT
Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan Laos bersetuju untuk mempercepat pelaksanaan fasa kedua Projek Grid Kuasa ASEAN. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Malaysia dan Laos bersetuju untuk mempercepat pelaksanaan fasa kedua Projek Grid Kuasa ASEAN yang akan menghubungkan Laos, Kemboja dan Thailand ke Malaysia dan Singapura.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Laos bersetuju untuk mempercepat pelaksanaan fasa kedua Projek Grid Kuasa ASEAN yang akan menghubungkan Laos, Kemboja dan Thailand ke Malaysia dan Singapura.
  • Projek ini adalah kesinambungan kepada inisiatif ASEAN untuk integrasi tenaga serantau demi menjamin kestabilan dan keselamatan tenaga jangka panjang.
  • Cadangan mempercepat fasa kedua akan dibawa ke mesyuarat pemimpin ASEAN akan datang sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh kerjasama tenaga serantau.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan kepada perbincangan awal dalam kerangka ASEAN yang menekankan kepentingan integrasi tenaga serantau bagi menjamin kestabilan dan keselamatan tenaga jangka panjang.

"Kita juga telah memulakan usaha seperti yang dipersetujui dalam perbincangan awal ASEAN, iaitu projek Grid Kuasa ASEAN yang perlu disambungkan dari Laos, Kemboja dan Thailand ke Malaysia dan Singapura.

"Namun, sebagai fasa pertama, ia melibatkan kabel dasar laut dari Vietnam ke bahagian utara Malaysia.

"Tetapi saya bersetuju dengan Perdana Menteri Laos bahawa kita perlu mempercepatkan pelaksanaan fasa kedua supaya Laos, Kemboja dan Thailand juga dapat menikmati manfaat sambungan ini ke Malaysia dan Singapura," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone, sempena lawatan kerja rasmi pemimpin itu ke Malaysia pada Ahad.

Menurut Anwar, cadangan tersebut akan dibawa untuk dibincangkan dalam pertemuan para pemimpin ASEAN yang akan datang sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor tenaga.





#Anwar Ibrahim #ASEAN #laos #Projek Grid Kuasa ASEA #Sonexay Siphandone