BARCELONA: Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa pendekatan yang diambil negara dalam membina rangkaian 5G merupakan satu kejayaan selepas meraih kedudukan teratas skor ketekalan 5G.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ookla, Stephen Bye berkata, tidak seperti membina rangkaian untuk mencapai kelajuan tertentu, mewujudkan satu rangkaian yang konsisten merupakan cabaran yang berbeza.

"Ookla kami berbangga menjadi pihak bebas yang melihat kepada kualiti rangkaian, kami mengukur dalam pelbagai sudut berbeza, satu daripadanya ialah kelajuan, iaitu yang diketahui orang ramai mengenai kami dari segi ujian kelajuan.

"Tetapi kriteria lain yang kami lihat ialah ketekalan. Yang sebenarnya lebih sukar dicapai, rangkaian konsisten merentasi geografi yang luas dan terutamanya di Malaysia dengan bangunan-bangunan sebagai cabaran... untuk membina satu rangkaian yang mempunyai prestasi konsisten adalah sangat sangat mencabar," katanya kepada Bernama dan RTM.

Beliau ditemui selepas menyerahkan anugerah Skor Ketekalan Global Terbaik kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam satu majlis sempena Kongres Dunia Mudah Alih 2024 (MWC2024) Barcelona, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Ookla, peneraju global dalam pemantauan rangkaian dan cerapan kesalinghubungan, hari ini mengumumkan Skor Ketekalan 5G Malaysia bagi Suku Keempat 2023 sebagai pemenang global dalam kalangan negara yang telah berjaya melancarkan 5G secara komersil.

Malaysia memperoleh skor 97.27 peratus diikuti Utara Macedonia pada 94.06 peratus dan Emiriah Arab Bersatu pada 93.88 peratus.

Mengulas lanjut, Bye berkata, anugerah itu jarang diberikan pihaknya dan tidak ramai yang menerima pengiktirafan itu.

"Sebagai bekas ketua pegawai teknologi yang pernah membangunkan dan mengoperasikan rangkaian sebelum ini, saya secara peribadi tahu betapa mencabarnya untuk mencapai anugerah seperti ini dan tahniah buat Malaysia yang meraih anugerah ini dan kami bangga dapat memberikannya kepada mereka," katanya.

Menyifatkankan anugerah itu sebagai layak diterima (Malaysia), Bye berkata, walaupun pendekatan diambil Malaysia dalam membina rangkaian bersama Digital Nasional Berhad (DNB) sememangnya merupakan satu pendekatan unik dan banyak pihak yang skeptikal, usaha itu bagaimanapun dibuktikan mampu untuk dijayakan dengan sokongan persekitaran pengawalseliaan, kementerian dan pengendali.

"Terbukti ia sesuatu yang saya berpendapat banyak negara akan melihat dan berfikir sekiranya ada pendekatan yang lebih baik untuk mereka melaksanakan 5G dan teknologi termaju, jadi pujian kepada Malaysia, dasar yang ada membolehkan mereka meraih anugerah ini," katanya.

Sementara itu, Fahmi ketika ditemui berkata, beliau sebelum itu turut mengambil kesempatan berbincang bersama Ookla, untuk melihat peluang kerjasama lebih mendalam.

Khususnya, menurut Fahmi, bagi membantu Malaysia mengatasi beberapa masalah terutama dari segi bukan hanya kualiti perkhidmatan tetapi juga kualiti pengalaman kepada pengguna.

"Jadi kita harap pencapaian ini akan membakar semangat bagi semua telco (syarikat telekomunikasi) dan rakan-rakan di MCMC supaya kita bekerja lebih gigih bagi menyediakan Internet yang lebih murah, pantas dan yang boleh dipercayai untuk semua rakyat Malaysia.

"Ini satu pencapaian yang baik tetapi kita semua sedia maklum di Malaysia kita ada beberapa cabaran dengan Internet 5G iaitu selain Internet di luar, salah satu kawasan yang perlu kita beri keutamaan adalah dalam bangunan, ini antara perkara yang akan jadi keutamaan kepada kementerian selepas ini," katanya.
- BERNAMA