Ringkasan AI
- Malaysia sedang mengadakan libat urus dengan negara-negara sehaluan untuk mencabar dan menghalang penyalahgunaan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB.
- Malaysia menegaskan pendirian bahawa keadilan untuk rakyat Palestin tidak boleh ditangguhkan dan perlindungan kemanusiaan mesti diutamakan.
- Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah PBB di Malaysia 2026 kepada TNG Digital, Women Of Will, dan TONIBUNG atas sumbangan mereka kepada masyarakat.
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mengadakan libat urus dengan negara-negara yang sehaluan bagi mencabar kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menghalang penyalahgunaannya, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata kuasa veto telah melumpuhkan tindakan terhadap isu Gaza selain membantutkan usaha ke arah pembentukan sebuah negara Palestin.
“Dengan veto yang ada ini telah pun menyebabkan negara-negara seperti Malaysia yang menyokong untuk penubuhan negara Palestin tidak dapat mencapai tujuan tersebut.
“Kita sedang melakukan satu sesi libat urus yang kerap bersama rakan-rakan yang bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Menteri Luar Negeri berkenaan untuk mencabar kuasa veto dan juga memohon negara-negara untuk memastikan kuasa veto ini tidak disalahgunakan,” katanya kepada Bernama pada majlis peringatan Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2026 di sini, pada Isnin.
Malaysia akan terus membangkitkan isu berkenaan menerusi platform pelbagai hala, berpaksikan pendirian yang digariskan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung PBB ke-81 pada September lepas, katanya.
“Kita akan menggunakan semua platform yang ada dan terus menyampaikan mesej ini menerusi ucapan serta saluran pelbagai hala yang disertai Malaysia,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Lukanisman menyifatkan Gaza sebagai contoh jelas cabaran yang dihadapi PBB apabila Majlis Keselamatan lumpuh akibat penggunaan kuasa veto, sedangkan orang awam terus menderita.
Beliau berkata pendirian Malaysia adalah jelas, iaitu kuasa veto mesti dicabar, keadilan untuk rakyat Palestin tidak boleh ditangguhkan dan perlindungan kemanusiaan bukanlah suatu pilihan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama Malaysia dengan PBB tidak menghalang negara ini daripada mengambil pendekatan sendiri dalam menangani cabaran sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka.
Sementara itu, Penyelaras Residen PBB di Malaysia Nikolas Myint menyeru usaha kolektif dipergiat bagi memperkukuh pertubuhan berkenaan di tengah-tengah cabaran terhadap sistem multilateralisme.
“PBB tidak bertujuan untuk menjadi kelab bagi golongan kaya atau berkuasa, tetapi sebagai cerminan dunia, aspirasi kita, serta kemampuan kita untuk mencapainya,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkepentingan menyumbang idea, kepakaran dan inisiatif untuk membantu PBB menangani cabaran global.
“Sama seperti Malaysia, PBB juga tidak sempurna. Pelawaan saya kepada anda semua, bahkan permintaan saya daripada setiap seorang daripada anda, adalah untuk membantu kami menjadikan PBB lebih baik, lebih kukuh, dan memanfaatkannya ke arah membina dunia yang lebih baik,” katanya.
Myint turut menekankan sumbangan besar Malaysia terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, dengan hampir 40,000 anggota telah menyertai 38 operasi pengaman PBB sepanjang 60 tahun lepas.
Katanya, seramai 539 anggota tentera dan polis Malaysia kini sedang berkhidmat dalam lima misi pengaman PBB.
Sambutan bertemakan "Malaysia di PBB, PBB di Malaysia" itu turut melancarkan program sepanjang tahun sempena ulang tahun ke-70 kerjasama Malaysia dengan PBB pada 2027. Malaysia menyertai PBB pada 17 Sept 1957.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah PBB di Malaysia 2026, dengan TNG Digital menerima Anugerah Impak atas usahanya memperluas keterangkuman kewangan dalam kalangan pelarian, pemohon suaka dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Women Of Will (WOW), menerima Anugerah Keterangkuman atas usahanya memperkasa wanita kurang bernasib baik menerusi latihan keusahawanan, pendidikan celik kewangan dan bimbingan perniagaan.
Perusahaan sosial yang diterajui masyarakat Orang Asal berpangkalan di Sabah, TONIBUNG, menerima Anugerah Inovasi atas usahanya memperluas akses kepada tenaga mampan di komuniti luar bandar dan pedalaman.
-- BERNAMA