MALAYSIA

Malaysia lonjak ke tangga 23 dunia dalam Daya Saing Global

Azyyati Ahmad 17/06/2025 | 03:00 MYT
Malaysia mencatat lonjakan terbesar dalam sejarah terkini apabila melonjak 11 anak tangga untuk menduduki tangga ke-23 dunia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, kedudukan terbaik negara sejak 2020. - Gambar hiasan Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat lonjakan terbesar dalam sejarah terkini apabila melonjak 11 anak tangga untuk menduduki tangga ke-23 dunia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, kedudukan terbaik negara sejak 2020.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pencapaian ini adalah hasil langsung daripada pelaksanaan reformasi menyeluruh di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Alhamdulillah, ini adalah petunjuk jelas bahawa usaha reformasi kerajaan sedang membuahkan hasil. Ia bukti bahawa Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta,” ujar beliau.

Dalam laporan IMD yang diterbitkan, Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa indikator utama termasuk:

* Prestasi ekonomi (naik ke tangga ke-4 daripada kedudukan ke-8)

* Kecekapan kerajaan (kedudukan ke- 25 → naik daripada tangga 33)

* Kecekapan perniagaan (kedudukan ke-32 → naik daripada tangga 40)

* Infrastruktur (kekal di tangga ke-35)

Sub-faktor yang menyumbang kepada lonjakan ini termasuk:

* Ekonomi domestik (#15, naik 20 anak tangga)

* Perdagangan antarabangsa (#6, naik 11 anak tangga)

* Harga (#1, kedudukan terbaik dunia)

* Produktiviti dan kecekapan (#34, naik 19 tangga)

* Pasaran buruh (#23, naik 11 tangga)

Menurut IMD, pencapaian ini menggambarkan peningkatan kepercayaan pelabur, tadbir urus yang mantap serta keberkesanan reformasi struktur yang telah dilaksanakan kerajaan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Anwar turut menegaskan, pencapaian ini adalah milik seluruh rakyat Malaysia:

“Ia adalah asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2033, demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” tambah Perdana Menteri lagi.






#Malaysia #daya saing global #PM Anwar Ibrahim #MD World Competitiveness Ranking 2025 #Kerajaan Madani