[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Malaysia mahu teroka bidang kerjasama baharu dengan Pakistan - PM Anwar

Umavathi Ramayah 06/10/2025 | 09:30 MYT
Anwar menegaskan, dengan kestabilan yang kini berjaya dicapai di Pakistan, kerajaan negara itu bersedia mengalu-alukan kerjasama yang lebih mendalam dengan Malaysia. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan Pakistan berhasrat meneroka bidang kerjasama baharu termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendigitalan serta sektor elektronik dan semikonduktor.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bidang-bidang tersebut mempunyai potensi besar untuk dimajukan bersama memandangkan Pakistan antara negara Islam yang mendahului dalam bidang berkenaan pada peringkat awal.

"Saya percaya ini merupakan bidang yang amat berpotensi. Pakistan pada awalnya jauh ke hadapan dalam bidang-bidang ini dan potensinya masih wujud sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawat dari Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula Ahad.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, dengan kestabilan yang kini berjaya dicapai di Pakistan, kerajaan negara itu bersedia mengalu-alukan kerjasama yang lebih mendalam dengan Malaysia dalam sektor berkenaan.

Katanya, pada masa sama Malaysia menyatakan sokongan terhadap usaha damai di wilayah Kashmir, India–Pakistan dengan menegaskan kepentingan dialog serta kerjasama serantau bagi memastikan kestabilan dan keamanan berkekalan di rantau berkenaan.

"Kita turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa termasuk usaha mencari keamanan di wilayah kecil India–Pakistan, satu perkara yang penting bagi kita di rantau ini.

"Kita juga bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam memerangi keganasan dan memastikan keamanan dapat dicapai secara menyeluruh," katanya.


#TVET #STEM #semikonduktor #kerjasama serantau