KUALA LUMPUR: Tanpa bersarung tangan, penyelidik alam sekitar Wong Pui Yi menyelongkar longgokan bendela sisa buangan plastik yang kotor dan berhabuk, ditinggalkan di sebuah rumah kedai di Kawasan Perindustrian Pulau Indah di Klang, Selangor.

Terdiri daripada campuran sisa plastik dan kertas, sesetengah bendela tersebut masih mempunyai label produk - satu daripada label itu dalam bahasa Belanda yang menerangkan tentang makanan dan beralamat di Afrika Selatan. Longgokan sisa buangan berkenaan yang memenuhi segenap ruang premis, hanyalah satu daripada beberapa timbunan sampah di kawasan terbabit.

"Sisa buangan ini adalah bahan buangan campuran yang diimport (barangkali sudah ada di sini sejak) 2018, 2019. Dulu cukup mudah untuk bawa masuk sisa buangan ini, sekarang lebih sukar," jelasnya kepada Bernama yang turut berada di lokasi, bagi menyelami permasalahan sisa plastik import yang dihadapi negara ini.

Selepas China menghentikan pembelian hampir kesemua sisa plastik pada Januari 2018, Malaysia menjadi destinasi popular buat penyeludup bahan buangan. Menurut kerajaan dan juga statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia mengimport lebih 850,000 tan sisa plastik pada tahun berkenaan dengan sebahagiannya dibuang begitu sahaja, manakala yang lain pula dibakar di kilang kitar semula yang beroperasi secara haram, atau ditinggalkan terbiar.

Malaysia kemudian memperketat peraturan kebenaran mengimport, meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di pelabuhan, memulangkan berdozen kontena membawa "plastik kotor" ke negara asal dan mengambil tindakan tegas terhadap kilang kitar semula tidak berlesen. Akan tetapi, selepas tiga tahun, negara masih lagi bergelut untuk "membuang" sampah yang dibawa masuk sebelum ini.

Wong yang merupakan penyelidik tadbir urus plastik Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), berkata ada banyak sebab sisa buangan tersebut ditinggalkan terbiar.

Antaranya ialah sesetengah sampah yang dibawa masuk tidak boleh dikitar semula kerana merupakan campuran yang tercemar dengan sisa buangan perbandaran, disifatkan sebagai "plastik kotor". Contoh "plastik kotor" ialah bekas plastik yang diperbuat daripada plastik kitar semula yang ada sisa makanan.

Sebab lain ialah pemilik telah melarikan diri atau premis tersebut pernah dijadikan lokasi mengasingkan sisa plastik namun ditinggalkan apabila operasi kilang haram berdekatan ditutup.

Gambar serta video mengenai tapak pembuangan itu dikongsikan oleh Bernama dengan pakar industri dan agensi kerajaan, yang masing-masing berkata situasi tersebut sangat lazim ditemukan. Menurut pegawai di Majlis Perbandaran Klang (MPK), di kawasan itu sahaja ada empat tapak pembuangan sisa dan 1,600 lot dengan beberapa kilang haram beroperasi.

"Dah bawa barang salah, tentulah akan dibuang sesuka hati," kata Zaireezal Ahmad Zairuddin daripada Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK.

Meninggalkan sisa plastik diimport begitu sahaja juga adalah kaedah termurah.

Pakar pengurusan sisa Prof Dr P. Agamuthu daripada Sunway University menyimpulkan situasi itu sebagai modus operandi syarikat yang membawa masuk sampah secara haram, selalunya dengan memalsukan dokumen atau melabelkan secara salah jenis sisa.

"Apabila mereka dapati kira-kira 70 hingga 80 peratus daripada bahan tersebut tidak berbaloi untuk dikitar semula, mereka akan buang, sebab kalau mereka bawa ke tapak pelupusan sampah mereka perlu bayar tip," jelas beliau kepada Bernama.

Pengusaha kitar semula plastik Datuk Johnson Yoon yang bersetuju dengan pandangan itu, berkata ramai operator kitar semula yang tidak berlesen memilih untuk meninggalkan sisa terbabit daripada mengitar semula kerana proses kitar semula adalah kompleks dan mahal.

"Jika JAS (Jabatan Alam Sekitar) panggil saya dan suruh saya bersihkan sisa buangan yang ada di Pulau Indah, saya juga akan sakit kepala," katanya.


BAGAIMANA INI TERJADI?

Plastik memberikan kesan jangka panjang hingga ke masa depan.

Ini kerana plastik tidak mendegradasi (terurai) selain hanya boleh dikitar semula untuk beberapa kali sahaja. Justeru, bahan ini dijangka kekal selama beratus, kalaupun tidak beribu, tahun akan datang, dan jika ada sisa organik padanya, plastik itu tidak boleh dikitar semula. Jenis plastik juga penting. Jika sampah itu adalah campuran kertas dan plastik seperti cawan kopi untuk bawa pulang, produk berkenaan juga tidak boleh dikitar semula.

Menurut Bank Dunia, kira-kira 1.82 bilion tan sisa pepejal domestik dihasilkan oleh dunia setiap tahun. Menjelang 2050, sisa ini dijangka meningkat kepada 3.08 bilion tan setahun.

Jumlah sisa buangan yang begitu besar perlu "dibersihkan", dan daripada mengasingkan serta mengitar semula sampah yang dibuang oleh orang ramai ke dalam tong kitar semula, banyak negara mengambil jalan memampatkan sampah plastik menjadi bendela, kerana kaedah itu lebih murah, dan menjualnya.

Pengusaha di Asia Tenggara termasuk Malaysia, membeli sisa terbabit, dan hanya dalam masa yang singkat keadaan berada di luar kawalan mereka.

"Memang mudah untuk bawa masuk kerana kita tidak menjangka (jumlah menjadi begitu besar). Sebelum ini sudah ada kegiatan import sisa plastik untuk kitar semula di Malaysia, namun hanya dalam skala yang sangat kecil," kata Wong.

Bagaimanapun tambah wanita itu, ibarat ban pecah, apabila kebenaran diberikan untuk sampah dibawa masuk, timbunan sisa buangan plastik import di negara ini mula membukit.

Penyelidik Sahabat Alam Malaysia (SAM) Mageswari Sangaralingam pula berkata berikutan kewujudan lebihan sisa plastik itu, ramai pelabur asing datang dan mengoperasikan pusat kitar semula bagi menangani isu sampah terbabit.

"Ramai yang buat secara haram kerana untuk menubuhkan kemudahan berlesen, anda perlu lalui pelbagai proses bagi mendapatkan semua permit dan lesen, semua ini mengambil masa. Justeru, lebih mudah bagi mereka mengoperasikan pusat kitar semula haram," katanya.

Yoon yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA), mengimbas kembali tempoh berkenaan penuh dengan rasa marah. Katanya tindakan operator haram terbabit memburukkan nama pengitar semula yang berlesen, selain tindakan keras terhadap pusat-pusat haram mengganggu perniagaan ramai ahli persatuan.

"Kami terpaksa hentikan terus operasi. Jadi, anda boleh tengok sendiri betapa teruknya kesan ke atas pengitar semula berlesen... memang sangat serius. Kami alami kerugian yang besar," ujar beliau.

Tambah Yoon, sebelum ini ahli masyarakat memandang pengitar semula dalam konteks positif, namun kini setiap kali ada laporan media tentang sisa plastik import, akan ada komen negatif selain kejian menyusul.

"Kami adalah (penggiat) industri kitar semula. Orang panggil kami yang terlibat dalam industri kitar semula sebagai 'orang sampah' (hanya disebabkan oleh kilang haram terbabit). Kami adalah 'sampah'," kata Yoon.


SAMPAH DOMESTIK

Malaysia bertindak balas terhadap limpahan sisa buangan dengan mengetatkan peraturan berhubung siapa yang boleh mengimport menerusi 19 kriteria yang perlu dipenuhi sebelum mereka boleh diberikan lesen. Selain itu, kontena membawa sisa buangan khusus juga perlu diimbas di samping tindakan keras diambil terhadap kilang kitar semula haram.

Di sebalik tindakan tegas kerajaan, impak limpahan sisa plastik yang dibawa masuk pada 2018 dan 2019 masih dirasai dan akan terus dirasai untuk satu tempoh yang akan datang.

Mageswari yang juga Setiausaha Kehormat SAM, memberi amaran bahawa isu operator haram belum berakhir dan orang ramai harus terus berwaspada bagi memelihara alam sekitar. Sesetengah operator terbabit masih berada di Malaysia.

"Apabila kerajaan ambil tindakan di Selangor, operasi kilang dipindahkan ke tempat lain seperti Pulau Pinang dan Sungai Petani di Kedah," katanya.

Masalah sampah ini juga bukan setakat yang ditinggalkan terbiar di Pulau Indah dan tapak-tapak lain. Ini kerana kira-kira 17,000 tan plastik yang ditemukan di Jenjarom sebelum ini masih tertanam di sana.

Bernama menyertai sekumpulan aktivis tempatan melawat tapak pembuangan haram dan kilang kitar semula. Menurut aktivis masyarakat Tan Ching Hin, pemilik tanah tidak mengalihkan kesemua sisa plastik sebelum menanam rumput di kawasan itu yang kini tumbuh separas paha dan mendominasi sebahagian besar kawasan. Tertanam jauh di dalam tanah di situ ialah cebisan pembungkusan plastik bersertakan arahan dalam bahasa Sepanyol.

"Sesetengah daripada plastik ini akan terurai menjadi plastik mikro dan dibawa air, dan kemudian akan dimakan oleh kita," kata Wong sambil menuding jari ke arah anak sungai yang mengalir berhampiran tapak pembuangan itu.

"Masalahnya sekarang bagaimana nak bersihkan," tambah beliau.

Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap saki-baki sisa buangan plastik di Jenjarom itu. Bagaimanapun mereka bertanggungjawab mengalihkan dan membersihkan premis.

"Banyak juga kes yang kita bersihkan. Tapi isunya, kadang-kadang orang ambil kesempatan. Kos pembersihan bukan murah," kata Zaireezal yang merupakan Pengarah Perkhidmatan Persekitaran MPK.

Beliau menganggarkan kos mengalihkan, melupuskan dan membersihkan sisa plastik sekitar RM10,000 bagi 30,000 tan - kos yang agak tinggi, justeru mereka tidak mampu melakukannya dengan kerap.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor Ng Sze Han dalam e-melnya kepada Bernama, berkata orang awam harus membuat aduan kepada pihak berwajib jika mereka mengesan sebarang pelanggaran undang-undang alam sekitar.

"Kerajaan negeri ini tidak membenarkan sisa buangan ditinggalkan terbiar," katanya.

Mengulas lanjut, Ng berkata kerajaan Selangor berulang kali menegaskan tidak menyokong dasar membenarkan import sisa plastik.

"Pendirian kami ialah setiap negara harus bertanggungjawab terhadap sisa buangan mereka," tegas Ng.

Pandangan itu dipersetujui aktivis alam sekitar yang berpendapat negara maju sepatutnya berkemampuan mengitar semula sisa buangan mereka sebelum menjadikan negara membangun sebagai penyelesai masalah mereka.

Pihak kerajaan pula berkata undang-undang sedia ada sudah memadai kerana mereka tidak boleh menghentikan terus pengimportan sisa plastik berikutan permintaan industri kitar semula tempatan - yang mahukan sisa plastik industri, bukan sisa plastik perbandaran/domestik - tidak mampu ditampung oleh pasaran domestik. Menurut Bank Dunia, industri itu menyumbang US$7.23 bilion kepada ekonomi negara pada 2018.

Kerajaan juga melabur dalam ekonomi hijau termasuk dengan pelancaran pelan hala tuju plastik baru-baru ini, yang antara lain bermatlamat menghasilkan pembungkusan plastik boleh dikitar semula 100 peratus menjelang 2030.

Apa juga haluan yang diambil oleh negara pada masa depan, paling penting ialah mengambil kira kesan plastik terhadap kesemua aspek kehidupan manusia.

"Apakah kesan sisa buangan ini ke atas tanah kita, sumber air bawah tanah kita? Saya rasa ini masalah yang agak besar di Malaysia," kata Wong.

-- BERNAMA