Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong percaya bahawa Malaysia masih mampu menawarkan peluang pekerjaan, meskipun ramai graduan baru merungut tentang ketiadaan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Beliau berkata, keyakinan itu berpaksikan selagi ekonomi negara berkembang antara empat hingga lima peratus, peluang pekerjaan itu sentiasa ada malah, terdapat kira-kira empat juta pekerja asing memiliki pekerjaan di negara ini, sehingga kini.

"Ada daripada mereka seperti warga Bangladesh sanggup membuka perniagaan mencuci kereta atau melakukan pekerjaan di tapak-tapak pembinaan semata-mata untuk terus hidup dan kita sebagai rakyat Malaysia, kenapa tidak boleh mengikuti jejak itu?

"Bagi saya, tiada alasan untuk rakyat tempatan tidak mampu memperoleh kejayaan apatah lagi kita ini memang rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Siswazah dan Kerjaya Johor yang ketiga, di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta graduan agar bersifat lebih realistik dan pragmatic apabila ditawarkan dengan pekerjaan yang mempunyai gaji permulaan rendah.

Anggota Parlimen Ayer Hitam itu menambah, menjadi lumrah bagi mana-mana syarikat enggan membayar gaji tinggi kepada graduan baru, kerana mereka disedari belum mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang secukupnya dalam bidang diceburi.

"Melainkan seseorang itu terbukti membawa produktiviti yang tinggi kepada syarikat maka tentulah mereka diiktiraf atau diberikan jawatan yang bergaji menarik," katanya.

Selain itu, graduan, katanya juga, harus memperbaiki kemahiran komunikasi dengan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai kepentingan bagi membolehkan mereka berdaya saing.

"Pendek kata, kita bukan melihat segulung ijazah semata-mata. Kita kena mempunyai objektif dalam soal mendapatkan pekerjaan," tegasnya.