KUALA LUMPUR: Malaysia memenangi kes tuntutan diskriminasi biofuel minyak sawit yang dikeluarkan di negara ini yang diperuntukkan dalam Akta Delegasi Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), pada 5 Mac 2024, mengeluarkan laporan akhir dan menyimpulkan bahawa Akta Delegasi EU yang menyekat biofuel minyak sawit adalah bersifat diskriminasi.

"Keputusan WTO ini menunjukkan bahawa tuntutan diskriminasi Malaysia adalah wajar. Ini membuktikan Malaysia memperjuangkan keadilan untuk biodiesel negara, peniaga, syarikat dan pekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari berkata laporan akhir WTO mencari kesalahan dengan penggunaan tanah secara tidak langsung (ILUC) EU untuk mengharamkan biofuel minyak sawit.

Beliau berkata ia juga mencari kesalahan dengan pendekatan EU untuk memberitahu dan berunding dengan negara-negara lain apabila memperkenalkan langkah perdagangan baharu.

"EU bersetuju untuk mematuhi ketetapan WTO sebelum ia boleh mengenakan sekatan dalam menerima biobahan api minyak sawit Malaysia," kata Johari.

Beliau berkata kerajaan Malaysia akan memantau dengan teliti perubahan EU kepada peraturannya untuk membawanya seiring dengan penemuan WTO dan meneruskan prosiding pematuhan jika perlu.

"Kerajaan Malaysia kekal komited sepenuhnya untuk mempertahankan kepentingan pemain industri biofuel minyak sawit daripada halangan perdagangan dan diskriminasi," katanya.

Imbas kembali, Malaysia, pengeluar utama minyak sawit dalam pasaran dunia pada 19 Januari 2021, meminta WTO melakukan rundingan bagi mencari mekanisme penyelesaian pertikaian itu dengan EU berhubung langkah yang diterima pakai oleh EU dan negara anggotanya yang menjejaskan minyak sawit dan biofuel berasaskan sawit.

-- BERNAMA