KUALA LUMPUR: Sebuah video khas sempena Hari Kebangsaan 2026 yang menampilkan seniman veteran Datuk Jalaluddin Hassan mendapat perhatian ramai selepas dikongsikan di platform media sosial Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Video berdurasi lapan minit bertajuk Malaysia Adalah Milik Kita Bersama itu diterbitkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang membawa tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.
Berbeza daripada pendekatan lazim yang menampilkan perarakan atau elemen berskala besar, video berkenaan mengangkat kisah sederhana yang sarat dengan mesej mengenai pengorbanan, perpaduan dan tanggungjawab rakyat terhadap negara.
Dalam video tersebut, Jalaluddin memegang watak seorang datuk yang meluangkan masa bersama cucunya, lakonan pelakon cilik Zarra Zhaf yang sebelum ini dikenali menerusi filem seram Khadam.
Melalui perbualan santai antara dua generasi itu, mesej tentang pentingnya menghargai nikmat kemerdekaan, menghormati perbezaan dan memelihara keharmonian negara disampaikan dengan pendekatan yang dekat dengan masyarakat.
Video itu turut mengetengahkan mesej bahawa semangat kemerdekaan bukan hanya diterjemahkan melalui kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya turut dizahirkan menerusi sikap dan tindakan harian dalam menjaga, menghormati serta menyayangi tanah air.
Fadillah dalam amanat khas yang diselitkan dalam video berkenaan menyeru rakyat untuk terus memelihara kedaulatan negara serta memperkukuh semangat kebersamaan.
“Malaysia adalah milik kita bersama, peliharalah kedaulatannya, hormatilah perbezaannya dan perkukuhkanlah semangat kebersamaan agar negara kita terus gemilang pada mata dunia.
“Ayuh semarakkanlah rasa cinta, tanggungjawab dan kesetiaan kepada tanah air. Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan,” katanya.
Menurut kenyataan, penerbitan video itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk menyemarakkan sambutan Merdeka melalui penyampaian mesej yang lebih bermakna dan dekat dengan rakyat.
Video penuh boleh ditonton menerusi akaun media sosial Fadillah serta platform rasmi PETRA di Facebook, Instagram, TikTok dan X.