KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala Malaysia dengan Monaco dijangka mencapai tahap baharu dengan penubuhan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang pertama di Kuala Lumpur.

Langkah itu akan lebih memperkukuh asas untuk perkongsian baharu serta membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk kedua-dua negara berkongsi pertumbuhan dan pembangunan.

Putera Monaco Putera Albert II yang menyerikan pembukaan konsulat itu sempena lawatan negara empat hari baginda ke Malaysia pada minggu lepas menekankan kepentingan langkah diplomatik berkenaan dan menyatakan keyakinan untuk perkembangan hubungan dua hala yang berterusan.

Mengulas mengenai pembukaan Pejabat Konsul Kehormat Monaco di sini, Penasihat Kanan dan Pengarah Ab Artho, Dr Farizal Mohd Razalli berkata langkah itu merupakan satu pencapaian penting dalam hubungan diplomatik antara Monaco dan Malaysia. 

Pakar strategi komunikasi hal ehwal awam dan antarabangsa itu menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai 'diplomasi diraja secara peribadi' di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan hubungan erat antara kerabat diraja boleh menyumbang peluang kepada kedua-dua negara.

"Tidak ada acara serantau atau global khusus yang membawa kepada peristiwa baru-baru ini. Tetapi saya melihatnya sebagai diplomasi diraja secara peribadi, terima kasih kepada lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Monaco pada awal Mei yang mungkin telah meyakinkan Putera Monaco Putera Albert II untuk mengukuhkan saluran diplomatik," katanya.

Beliau berkata walaupun peranan monarki mungkin terhad dalam kebanyakan perkara dasar luar negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, trend berubah dengan diplomasi diraja telah memperoleh manfaat untuk negara dalam sektor pelaburan dan perdagangan seperti dalam kes Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Terdapat daya tarikan istimewa yang boleh diterapkan oleh diplomasi diraja ke dalam pengendalian hal ehwal luar dan diplomasi secara amnya sama seperti zaman Renaissance," kata Farizal kepada Bernama.

Sempena lawatan negara Putera Albert II, Al-Sultan Abdullah menganugerahkan darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) dan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang, Darjah Yang Pertama (DK) kepada Putera Monaco itu.

Sebagai tanda hormat, Putera Albert II turut menganugerahkan Al-Sultan Abdullah dengan Grand-Croix de l'Ordre de Saint-Charles iaitu anugerah tertinggi Monaco.

Dalam lawatan negara itu, Putera Albert II turut melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, di Pahang selain Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah semasa lawatan baginda ke Monaco atas persilaan Putera Albert II telah menghadiri majlis pelancaran kenderaan pelbagai tugas Rover Lunaire Flex di ibu pejabat Venturi, sebuah syarikat pengeluar automatif yang berpangkalan di Monaco.

Seri Paduka turut berangkat melawat pasukan F1 Mercedes-Petronas di Paddocks dan Automobile Club Monaco.

Bercakap lebih lanjut mengenai penubuhan konsulat di sini, Farizal berkata ia sememangnya satu isyarat diplomatik yang disambut baik susulan penubuhan Konsul Kehormat Malaysia di Monaco.

"Dari perspektif diplomatik tulen, keputusan Monaco membuktikan pengakuannya terhadap nilai Malaysia sebagai rakan dan rakan kongsi.

"Dari perspektif politik-ekonomi pula ia menunjukkan kesediaan Monaco untuk meneroka dan mengeksploitasi pelbagai hubungan kerajaan dengan kerajaan yang turut mengambil kira manfaat ekonomi," kata beliau.

Beliau berkata memandangkan ekonomi Monaco yang kaya (kedua di dunia dari segi keluaran dalam negara kasar per kapita), Monaco bersedia untuk menyediakan sumber pelaburan yang berpotensi kepada Malaysia, sama ada dalam bentuk ekuiti swasta atau pejabat keluarga untuk membiayai PKS contohnya yang baru bermula.

"Hakikat bahawa hampir satu daripada setiap tiga penduduk Monaco adalah bilionair, Malaysia boleh meneroka pasaran pelancongan mewah dengan menawarkan produk pelancongan yang unik, mewah dan eksotik serta tawaran yang memenuhi keperluan kumpulan ini yang sentiasa mencari pengalaman perjalanan yang sukar ditandingi," tambah Farizal.

Terletak di pantai Mediterranean, Monaco ialah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dengan saiz satu batu persegi dan mempunyai populasi lebih daripada 35,000 orang.

Terkenal dengan Grand Prix Monaco, wilayah itu menonjol sebagai destinasi pelancongan yang menawan dengan rangkaian hotel dan tarikan lain.

Malaysia dan Monaco menjalin hubungan diplomatik sejak 2009.

-- BERNAMA