Malaysia berada di kedudukan ke-32 secara keseluruhan di dunia bagi indeks inovasi dunia, meningkat satu tangga daripada kedudukan ke-33 tahun lepas, menurut laporan Indeks Inovasi Global (GII) tahun ini.

Perkara ini dinyatakan pada mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) kelima di midtown Manhattan, di sini pada Isnin yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat memanfaatkan kaji selidik daripada laporan GII, yang baru disiarkan oleh Cornell University, INSEAD (sekolah lulusan siswazah perniagaan yang mempunyai kampus di Eropah, Asia dan Timur Tengah) dan World Intellectual Porperty Organisation (WIPO).

"Malaysia ialah negara berpendapatan sederhana yang menduduki ranking teratas dalam indeks inovasi," kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan "kestabilan politik, kemasukan pelaburan langsung asing dan industri berasaskan eksport antara faktor bagi kejayaan transformasi Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana di kedudukan teratas"

GSIAC ialah sebuah badan terdiri daripada pemimpin negara dan antarabangsa yang terkemuka dalam bidang ekonomi, perniagaan, sains dan teknologi, dan diberi mandat membantu negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Majlis itu dikendalikan bersama oleh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Academy of Sciences New York.

Malaysia muncul sebagai negara pencapaian inovasi untuk tempoh 2011-2014 berdasarkan peningkatan dalam Indeks Inovasi Global (GII) berkaitan KDNK, kata laporan itu.

"Malaysia mengatasi negara-negara lain yang berpendapatan sederhana dalam ketujuh-tuijuh tonggak GII bagi tempoh 2011-2014.

"Institusi amnya untuk merangsang inovasi amatlah baik, seperti terbukti dalam penambahbaikan dalam ranking mudah menjalankan perniagaan, daripada kedudukan ke-90 pada 2012 kepada kedudukan ke-15 pada 2014," kata laporan itu.

Kedudukan Malaysia dalam persekitaran perniagaan juga bertambah baik, apabila memperbaiki kedudukan daripada tangga ke-53 pada 2011 kepada tangga ke-25 pada 2014.

Laporan itu berkata, Malaysia kekal sebagai pengimport teknologi dan perkhidmatan dengan yuran bersih resit dan pelesenan kekal negatif selama bertahun-tahun.

"Usaha lebih besar perlu dilakukan untuk meningkatkan sokongan institusi dan aktiviti berasaskan pengetahuan untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport teknologi dan perkhidmatan," kata laporan itu.

Ia juga menarik perhatian bahawa usaha Malaysia meningkatkan jaringan universiti-industri adalah contoh baik bagi negara-negara lain yang berhasrat untuk meningkatkan keupayaan inovasi.

Satu lagi kajian dasar Inovasi Malaysia yang disediakan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) meramalkan "peluang amat besar untuk direbut".

Kajian OECD itu dijangka menggariskan beberapa tindakan penting yang perlu untuk meningkatkan keupayaan inovasi Malaysia seperti, melaksanakan strategi pembangunan berasaskan inovasi, mengekalkan perhatian kepada pelaburan dan pelaburan berterusan dalam pembangunan sumber manusia dan kemahiran, sains, teknologi serta inovasi.

Tindakan lain ialah membangunkan sistem inovasi kebangsaan yang matang dengan interaksi yang sihat antara komposisi utama dan persekitaran antarabangsa secara beransur-ansur, memupuk keupayaan inovasi firma perniagaan melalui gabungan syarat rangka kerja berteraskan inovasi-mesra serta langkah-langkah dasar yang responsif dan berdedikasi.

Turut diberikan perhatian ialah mengukuhkan sumbangan penyelidikan universiti dan institusi penyelidikan, terutama oleh mekanisme pemandu dan pembiayaan, mengambil kira pelbagai fungsi institusi ini (daripada mendidik kakitangan mahir untuk STI hinggalah kepada menjalankan penyelidikan termaju).