Skip to main content

Malaysia

Malaysia nasihat rakyat tangguh perjalanan tidak penting ke selatan Thailand

Raja Muda Perlis -- kredit Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis
Tuanku Syed Faizuddin dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb bekenan menanam pokok Bucida Hijau sebagai simbol persahabatan erat antara Perlis dan Songkhla. - Gambar Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis.
Advertisement

SONGKHLA: Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau merancang perjalanan ke Pattani, Yala dan Narathiwat supaya meningkatkan tahap kewaspadaan susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku di wilayah selatan Thailand baru-baru ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, rakyat Malaysia disaran mempertimbangkan semula perjalanan yang tidak penting ke kawasan terjejas bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Menurut beliau, rakyat Malaysia perlu mengelakkan kawasan yang berlaku insiden keselamatan, demonstrasi atau perhimpunan besar serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand termasuk sebarang perintah berkurung, penutupan jalan raya dan pemeriksaan keselamatan.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan perjalanan pada waktu malam di kawasan yang terjejas, selain sentiasa mengikuti pengumuman rasmi dan memaklumkan jadual perjalanan kepada ahli keluarga terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fahmi mengingatkan rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menggunakan kenderaan sendiri supaya membawa lesen memandu Malaysia yang asal dalam bentuk fizikal dan tidak bergantung sepenuhnya kepada lesen digital melalui aplikasi MyJPJ.

Katanya, dokumen penting termasuk sijil pendaftaran kenderaan, insurans dan dokumen lain yang diperlukan hendaklah sentiasa dibawa bagi memudahkan urusan pemeriksaan oleh pihak berkuasa Thailand.

Beliau turut mengingatkan pemandu dan penunggang kenderaan dari Malaysia supaya memakai tali pinggang keledar atau topi keledar serta mematuhi semua peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

Menurut beliau, pihak berkuasa Thailand kini giat memperketat penguatkuasaan peraturan lalu lintas termasuk terhadap kenderaan yang memasuki negara itu dari Malaysia.

Malah, beberapa rakyat Malaysia dilaporkan telah dikenakan saman atas pelbagai kesalahan berkaitan dokumentasi dan lalu lintas.

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menasihatkan mana-mana individu yang dikenakan saman supaya menjelaskan bayaran melalui saluran rasmi serta menyimpan resit pembayaran sebagai rekod.

Beliau berkata demikian ketika Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026 di sekitar mukim Ko Taeo, Songkhla yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Dalam program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra memulakan dan mengakhiri kayuhan di perkarangan Pejabat Perbandaran Mukim Ko Taeo sebelum disambut Pengarah Bahagian Kewangan perbandaran berkenaan, Saowapha Mahantamak.

Baginda turut berkenan melawat Koh Taeo Pittayasan School, sebuah sekolah sukan negeri Thailand bagi wilayah berkenaan, dan diberi penghormatan menanam pokok Bucida Hijau sebagai simbol persahabatan erat antara Perlis dan Songkhla.

 

Must Watch Video

Advertisement