PUTRAJAYA: Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang berjaya meyakinkan Myanmar untuk menerima kembali pelariannya sekali gus mencerminkan kejayaan diplomatik negara yang hebat, kata Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai satu pencapaian diplomatik yang luar biasa.
“Ini satu pencapaian luar biasa kerana seperti yang Perdana Menteri maklumkan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia berjaya meyakinkan sebuah negara seperti Myanmar untuk menerima kembali pelariannya.
“Semua dipulangkan pada kos ditanggung oleh pihak Myanmar itu sendiri. Jadi ini satu pencapaian diplomatik yang cukup membanggakan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Oktober 2026, di sini, hari ini.
Perhimpunan sempena Hari Sukan Negara 2026 itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata, lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing pada 7 dan 8 Okt lepas turut membuka ruang perbincangan bagi memastikan lebih ramai pelarian negara itu dapat dihantar pulang.
“Insya-Allah dalam masa terdekat, lebih 3,000 pelarian Myanmar pelbagai etnik akan mula dihantar pulang,” katanya.
Beliau turut meminta Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneliti perkembangan berkenaan, yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara lain.
Sebelum ini, Malaysia melaksanakan program penghantaran pulang fasa pertama melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar dengan menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Anwar turut dilaporkan berkata, Myanmar bersedia memudahkan proses penghantaran pulang warganya secara besar-besaran dan menanggung kos berkaitan.
Sementara itu, Fahmi berkata, antara pencapaian diplomatik negara termasuk kehadiran Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Raja Jordan, Raja Abdullah II ke Malaysia selain pelaksanaan Global Sumud bagi membantu rakyat Palestin.
“Jadi Insya-Allah, beberapa langkah diplomatik ini akan dapat mengukuhkan bukan hanya kedudukan Malaysia di mata dunia, tetapi juga membantu kumpulan-kumpulan seperti rakyat Palestin,” katanya.
-- BERNAMA