Malaysia, Perancis terus komited perkukuhkan hubungan

Hafiz Marzukhi
Mac 28, 2017 07:23 MYT
Turut dibincangkan kedua-dua pemimpin adalah isu ekstremisme serta kegiatan militan.
Malaysia dan Perancis kekal komited dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Perancis merupakan rakan dagangan ke-18 terbesar bagi Malaysia dan beliau ingin terus memastikan hubungan rapat antara kedua-dua negara dikekalkan.
"Antara perkara yang sempat kami bincangkan termasuk berkaitan pembelian aset pertahanan udara dari Perancis.
"Namun, perkara ini masih belum dimuktamadkan," kata Datuk Seri Najib dalam satu sidang media bersama Presiden Perancis Francois Hollande di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada tengah hari tadi.
Selain itu, beliau turut berbincang dengan Hollande berkaitan ekstremisme serta kegiatan militan.
"Malah, saya turut berkongsi senaskah modul deradikalisasi yang mempunyai kadar kejayaan (success rate) sehingga 95 peratus," kata Perdana Menteri Najib,
Hollande juga berterima kasih atas sambutan yang diberikan Malaysia dan berharap kerjasama antara kedua-dua negara terus kukuh di masa akan datang.
"Kerjasama antara Perancis dan Malaysia bukan sahaja terhad kepada hal-hal pertahanan dan keselamatan, tetapi juga perdagangan, kebudayaan dan juga pendidikan," kata Hollande.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Francois Hollande #Malaysia #Perancis #Perdana Menteri