NEW YORK: Malaysia akan terus memperjuangkan agenda pembangunan inklusif, mampan dan berteraskan rakyat di peringkat antarabangsa selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2026, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Nadzirah Osman berkata, kemajuan sesebuah negara hanya bermakna apabila manfaatnya dapat dinikmati dan dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, prinsip tersebut bukan sahaja menjadi asas pembangunan Malaysia, malah turut menjadi pegangan negara dalam penglibatannya di pentas antarabangsa melalui PBB.
“Tema Kesejahteraan Dinikmati membawa aspirasi kemakmuran dan kesejahteraan yang boleh dinikmati serta dikongsi oleh semua.
“Pada terasnya ialah keyakinan bahawa kemajuan hanya bermakna apabila manfaatnya dikongsi secara saksama,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 anjuran Perutusan Tetap Malaysia ke PBB, di sini, pada Khamis.
Majlis yang dihoskan oleh Nadzirah itu menghimpunkan wakil tetap negara-negara anggota PBB, pegawai kanan pertubuhan tersebut, tetamu antarabangsa serta komuniti rakyat Malaysia yang menetap di New York.
Beliau berkata, kemakmuran tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu dinilai melalui sejauh mana peluang dan hasil pembangunan dapat dirasai oleh semua, termasuk golongan yang memerlukan.
“Persoalannya bukan berapa banyak yang kita capai, tetapi siapa yang menikmati manfaat daripada kemajuan itu, sama ada peluang tersedia kepada semua dan sama ada generasi akan datang mewarisi dunia yang lebih baik,” katanya.
Nadzirah berkata, pengalaman Malaysia sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya membuktikan bahawa perpaduan dalam kepelbagaian merupakan antara kekuatan utama negara dalam membina kemajuan yang mampan.
“Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, kepercayaan dan tradisi. Kekuatan kita sentiasa terletak pada keupayaan untuk bergerak maju bersama sambil memastikan semua pihak menikmati manfaat daripada perjalanan pembangunan negara,” katanya.
Mengulas cabaran global semasa, beliau berkata dunia kini berdepan pelbagai isu termasuk jurang ketidaksamaan yang semakin melebar, kemiskinan berterusan, beban hutang yang meningkat serta kesan perubahan iklim yang semakin ketara.
Sehubungan itu, Malaysia kekal komited terhadap sistem pelbagai hala dan peranan PBB sebagai platform penting untuk mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran global.
Menurut beliau, multilateralisme bagi Malaysia bukan sekadar mempunyai tempat dalam perbincangan antarabangsa, sebaliknya memastikan setiap negara, sama ada besar atau kecil, maju atau membangun, mempunyai suara dalam membentuk masa depan bersama.
Beliau turut menegaskan komitmen itu akan terus menjadi panduan kepada Malaysia menjelang penyertaannya sebagai anggota Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC) bagi penggal 2027 hingga 2029.
Katanya, Malaysia akan menggunakan platform tersebut untuk memperkukuhkerjasama antarabangsa, memperjuangkan pembangunan mampan serta menyokong pelaksanaan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Di atas segalanya, Malaysia mahu membantu merealisasikan janji untuk tidak meninggalkan sesiapa di belakang melalui usaha yang memberi impak sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Sementara itu, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di New York turut mengetengahkan keunikan budaya Malaysia menerusi persembahan kompang dan pelbagai sajian tradisional tempatan.
Penganjuran majlis itu bukan sahaja menyemarakkan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia di perantauan, malah berfungsi sebagai platform diplomasi budaya untuk memperkenalkan warisan Malaysia kepada komuniti antarabangsa serta mengukuhkan hubungan persahabatan dengan negara-negara anggota PBB.
Sambutan tahun ini turut membawa makna istimewa menjelang pembukaan Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung PBB (UNGA81) pada 8 September, ketika Malaysia bersiap sedia untuk terus memainkan peranan aktif dan konstruktif dalam memperjuangkan keamanan, multilateralisme, pembangunan mampan dan kepentingan masyarakat antarabangsa.
Mengakhiri ucapannya, Nadzirah menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus memperkukuh semangat kerjasama dan saling menghormati demi mewujudkan dunia yang lebih aman, inklusif dan saksama untuk semua.