ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

Malaysia perkukuh hubungan pertahanan dengan Korea Selatan ke tahap strategik - Mohamed Khaled

Bernama 22/09/2025 | 05:45 MYT
Mohamed Khaled menyampaikan ucaptama pada Seminar Ketiga Kerjasama Industri Pertahanan Malaysia-Korea di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia akan memperkukuh hubungan pertahanan dengan Korea Selatan ke tahap strategik serta membentuk kerjasama industri yang praktikal, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara terhadap keamanan, keselamatan dan kemajuan teknologi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Korea Selatan akan memperkukuh hubungan pertahanan ke tahap strategik, termasuk kerjasama industri, pemindahan teknologi, serta pembangunan dan pengeluaran bersama.
  • Perjanjian perolehan G2G Malaysia-Korea Selatan sedang dipercepatkan dan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri menjelang Oktober, menjadikan Korea Selatan negara kedua selepas Turkiye menandatangani perjanjian eksklusif ini.
  • Kerjasama ini merangkumi bidang aeroangkasa, pertahanan siber, AI dan teknologi tinggi, dengan lebih 20 syarikat pertahanan kedua-dua negara terlibat dalam seminar yang membincangkan potensi kolaborasi baharu.


Beliau berkata kerjasama pertahanan Malaysia-Korea Selatan yang kian kukuh telah mencapai satu tahap penting susulan keputusan kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama keselamatan, termasuk kolaborasi industri serta menangani ancaman bukan tradisional seperti jenayah siber.

"Malaysia bersedia mempelajari kepakaran Korea Selatan, menerima pemindahan teknologi serta melaksanakan pembangunan dan pengeluaran bersama," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Ketiga Kerjasama Industri Pertahanan Malaysia-Korea di sini hari ini.

Turut hadir, Duta Republik Korea ke Malaysia Yeo Sung-Bae dan Naib Pengerusi Ketua Turus Bersama Republik Korea Kwon Dae Won.

Mohamed Khaled menegaskan Malaysia menganggap Korea Selatan sebagai rakan yang dipercayai dengan industri pertahanan bertaraf dunia merangkumi aeroangkasa, pemantauan, pertahanan siber dan pembuatan berteknologi tinggi.

"Dialog semata-mata tidak mencukupi. Inilah masanya untuk bertindak, daripada sekadar niat baik kepada hasil nyata, daripada kerjasama asas kepada kemajuan konstruktif. Malaysia yakin dengan panduan dan persahabatan Korea, industri pertahanan kita akan mampu menterjemah aspirasi kepada pencapaian," katanya.

Beliau berkata kerjasama pertahanan Malaysia-Korea hadir tepat pada masanya memandangkan landskap keselamatan global kini berubah pantas dan ancaman berkembang melangkaui domain konvensional ke ruang siber, angkasa lepas serta spektrum elektromagnetik.

"Apabila kerjasama ini berhasil, ia bukan sahaja memperkukuh keselamatan negara kita malah menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau," katanya.

Mohamed Khaled turut memaklumkan Malaysia sedang mempercepatkan satu perjanjian perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Korea Selatan, yang dijangka akan dibentangkan untuk kelulusan Jemaah Menteri menjelang Oktober.

Katanya, sebaik diluluskan, Korea Selatan akan menjadi negara kedua selepas Turkiye yang menandatangani perjanjian eksklusif seumpama itu bersama Malaysia.

"Namun, kerjasama dalam perolehan pertahanan bukan sekadar soal membeli daripada anda. Ia juga tentang kesediaan anda untuk berkongsi, memindahkan serta membantu membangunkan syarikat dan industri kami.

"Malaysia mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada Korea, namun yang lebih penting, kedua-dua negara berpotensi memperoleh manfaat lebih besar menerusi perkongsian industri pertahanan yang pragmatik," katanya.

Sementara itu, seminar berkenaan disertai kira-kira 150 peserta termasuk pegawai, ahli akademik dan wakil industri pertahanan dari kedua-dua negara.

Ia turut menampilkan pembentangan mengenai dasar kecerdasan buatan (AI) serta perbincangan berhubung aplikasi AI dalam bidang pertahanan dan potensi kerjasama baharu.

Lebih 20 syarikat pertahanan Malaysia serta wakil syarikat pertahanan utama Korea Selatan turut mengambil bahagian, sekali gus membuka peluang kepada pertukaran pandangan yang bermakna antara kerajaan dan swasta kedua-dua negara.

-- BERNAMA



#Malaysia #Korea Selatan #hubungan pertahanan #Mohamed Khaled Nordin