JOHOL: Malaysia akan terus memperkukuh kedudukan bagi mempertahankan kedaulatannya susulan pertikaian tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bantahan diplomatik perlu diteruskan bagi menunjukkan pendirian Malaysia terhadap tuntutan yang dibuat oleh negara lain.
“Kita tahu bahawa kawasan Laut China Selatan itu merupakan kawasan tuntutan bertindih dan kita berhadapan dengan tuntutan bertindih daripada beberapa negara, terutamanya daripada negara China dan Vietnam dan Filipina.
“Soal bantahan-bantahan itu perlu dilakukan untuk menunjukkan bahawa bantahan itu sentiasa kita hidupkan dan kita tak benarkan ia berlalu begitu tanpa kita tunjukkan pendirian kita.
“Lebih-lebih lagi negara itu baru-baru ini telah membuat pengumuman bahawa kawasan lautnya termasuk beberapa pulau yang kita miliki jadi kita kena buat bantahan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengenalan Calon & Pelancaran Jentera Barisan Nasional N.19 Johol, di sini, pada Ahad (19 Julai).
Mengulas mengenai ancaman keselamatan, Khaled berkata Malaysia telah mengambil langkah memperkukuh kedudukan di kawasan berkenaan.
“Dari segi ancaman keselamatan, seperti yang kita sendiri maklum, kita telahpun mengukuhkan kedudukan kita di Pulau Layang-Layang.
“Kita juga akan memasang radar di kawasan itu untuk kita mempunyai keupayaan melakukan pemantauan yang lebih kukuh,” tambah Khaled.
Awal hari ini, media melaporkan penegasan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata Malaysia akan terus mempertahankan hak kedaulatan negara daripada sebarang tuntutan pihak luar termasuk mengambil tindakan diplomatik tegas terhadap negara yang mencabar wilayah negara.
Kata Mohamad, Malaysia baru-baru ini telah menghantar satu nota diplomatik yang disifatkan sebagai amat keras kepada sebuah negara yang mendakwa sebahagian kawasan dalam wilayah Malaysia adalah milik mereka.
Tanpa menyebut nama negara terbabit, Mohamad menegaskan dakwaan itu tidak berasas kerana penduduk wilayah berkenaan telah mengadakan referendum yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.