Malaysia perkukuh kerjasama ekonomi dengan China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan - Lim

Lim menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Ketua Pegawai Strategi JLG Ahmad Fadzli Zainudin (dua, kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY Alan Inn Wei Loon (dua, kanan) di Bursa Malaysia pada Rabu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia tetap komited memperkukuh kerjasama ekonomi dengan China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Ringkasan AI
- Malaysia kekal komited terhadap BRI yang menyokong pertumbuhan perdagangan dan selari dengan visi ekonomi MADANI.
- Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jadi contoh utama kerjasama BRI, membuka peluang dalam sektor pembuatan, logistik dan pelaburan.
- Malaysia sasar perluas kerjasama dalam elektronik, semikonduktor, automotif, aeroangkasa serta tenaga boleh baharu dan inovasi digital.
"BRI yang disokong oleh Malaysia sejak dari awal lagi, seiring sepenuhnya dengan visi ini (ekonomi MADANI). Sepanjang 12 tahun yang lepas, kerjasama BRI menghasilkan pencapaian yang sebenar dan boleh diukur.
"Perdagangan di antara Malaysia dengan China meningkat daripada RM181 bilion pada 2012 kepada RM484 bilion pada 2024 dengan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia," katanya ketika berucap dalam Forum Kewangan Parallel Street di sini pada Rabu.
Beliau menegaskan projek infrastruktur utama seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi 665 kilometer menjadi contoh utama berhubung kerjasama BRI yang mewujudkan manfaat ekonomi jangka panjang.
"Perniagaan dalam sektor pembuatan, logistik dan taman industri di sepanjang koridor ini akan mendapat akses kepada pasaran baharu, bakat dan peluang pelaburan," katanya.
Melangkah ke hadapan, Lim berkata Malaysia berhasrat untuk memperluas kerjasama dalam industri bernilai tinggi termasuk elektronik, semikonduktor, automotif dan aeroangkasa.
"Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk berfungsi sebagai pusat pengeluaran dan sebagai batu loncatan ke pasaran global.
"Di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Malaysia dan China juga menyelaraskan peraturan perkhidmatan kewangan serta menjadikan kerjasama lebih cekap dan telus," katanya.
Lim menambah peluang yang semakin berkembang juga wujud dalam kewangan hijau, tenaga boleh baharu dan inovasi digital apabila Malaysia dan China boleh menggabungkan kepakaran dan pelaburan.
Beliau berkata, BRI menawarkan platform yang kukuh untuk meningkatkan pelaburan dalam panel solar, kenderaan elektrik, penyimpanan bateri dan infrastruktur pengangkutan bersih apabila syarikat-syarikat China sudah memainkan peranan aktif dalam ekosistem tenaga boleh baharu Malaysia serta membawa teknologi canggih yang menyokong pertumbuhan tempatan.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


