[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

Malaysia, AS perkukuh kerjasama pertahanan melalui MoU baharu, perbaharui perjanjian sedia ada

Bernama 31/10/2025 | 07:30 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) dan Setiausaha Perang Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth (dua, kiri) menyaksikan pemeteraian MoU baharu mengenai kerjasama pertahanan pada Khamis. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) memperkukuh lebih 40 tahun hubungan pertahanan dua hala melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu mengenai Kerjasama Pertahanan yang bertujuan mempertingkat kerjasama dalam keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan AS menandatangani MoU baharu kerjasama pertahanan, memperkukuh hubungan lebih 40 tahun serta komitmen terhadap keamanan dan keselamatan serantau.
  • Perjanjian ACSA diperbaharui dan kedua-dua pihak bertekad memuktamadkan perjanjian komunikasi, perkongsian maklumat dan geospatial, selain menekankan keselamatan maritim di Laut China Selatan.
  • Kerjasama pertahanan sedia ada merangkumi 14 latihan tahunan, termasuk latihan HIMARS-AS dan ASTROS-Malaysia, serta kira-kira 300 pegawai Malaysia mengikuti latihan di AS setiap tahun.


Perjanjian itu dimeterai semasa mesyuarat dua hala antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Perang AS Pete Hegseth di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) semalam.

Dalam kenyataan media bersama hari ini, kedua-dua pemimpin turut mengumumkan pembaharuan Perjanjian Pemerolehan dan Perkhidmatan Saling (ACSA) serta mengulangi komitmen untuk memuktamadkan beberapa perjanjian dua hala lain melibatkan komunikasi, perkongsian maklumat dan hal ehwal geospatial.

"Kedua-dua pemimpin mengiktiraf kekuatan kerjasama pertahanan antara AS dan Malaysia sebagai tonggak penting kepada Perkongsian Strategik Komprehensif AS-Malaysia," menurut kenyataan itu.

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua menteri turut menegaskan komitmen untuk mengekalkan keselamatan maritim di Laut China Selatan, yang dianggap sebagai laluan strategik penting dan memerlukan penghormatan terhadap kedaulatan negara.

Kenyataan itu turut menyatakan kebimbangan Mohamed Khaled terhadap ancaman serantau.

"Beliau menegaskan bahawa taktik zon kelabu, seperti aktiviti penyelidikan hidrografi yang dijalankan di bawah perlindungan kapal pengawal pantai asing, merupakan tindakan provokatif dan ancaman terhadap kedaulatan negara," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga menegaskan kepentingan komunikasi dan dialog bagi mengelak salah perhitungan ketenteraan, di samping meneruskan usaha pemodenan serta memperkukuh interoperabiliti bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan.

Kenyataan itu turut menyorot luas dan mendalamnya kerjasama pertahanan sedia ada antara kedua-dua negara, termasuk 14 latihan dua hala dan pelbagai hala yang dilaksanakan bersama setiap tahun. Antara yang terbaharu ialah latihan tembakan tepat jarak jauh membabitkan sistem HIMARS (High Mobility Artillery Rocket System) milik AS dan sistem ASTROS milik Malaysia di Selat Melaka, yang mencerminkan kekukuhan hubungan pertahanan kedua-dua negara.

Selain itu, kenyataan tersebut turut menyebut bahawa kira-kira 300 pegawai Malaysia mengikuti latihan ketenteraan dan pembangunan profesional di AS setiap tahun.

Hegseth turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas kepimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN serta peranan positifnya dalam menyokong usaha Presiden Donald Trump menjadi perantara bagi mencapai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja. Sebagai maklum balas, Mohamed Khaled mengalu-alukan komitmen AS untuk terus menyokong pasukan pemerhati ASEAN yang dianggotai wakil pasukan keselamatan negara anggota.

Kedua-dua menteri turut menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan susulan di Pentagon, Washington D.C., tahun depan.

-- BERNAMA






#Malaysia #Amerika Syarikat #kerjasama pertahanan #Mohamed Khaled Nordin