MALAYSIA
Malaysia perkukuh kerjasama STI dengan China menerusi Persidangan Kedua BRST

Chang Lih Kang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Kedua Belt and Road Conference on Science and Technology Exchange (BRST) di Chengdu, China.
KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) dengan China menerusi penyertaan dalam Persidangan Kedua Belt and Road Conference on Science and Technology Exchange (BRST) di Chengdu, China.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, mengetuai delegasi negara ke persidangan itu pada 11 Jun lalu yang berlangsung di bawah tema “Together for Innovation, Development for All.”
Persidangan ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara negara-negara dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menerusi pertukaran teknologi, dasar dan penyelidikan.
Chang berkata, Malaysia menyambut baik inisiatif BRST sebagai pemangkin kolaborasi saintifik dan kemajuan teknologi melibatkan bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, bioteknologi dan pengkomputeran kuantum."Malaysia dan China mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh sejak sekian lama dan bersedia membangunkan penyelesaian teknologi tinggi bersama, di samping memupuk ekosistem inovasi rentas sempadan," katanya.
Lawatan kerja lima hari dari 10 hingga 14 Jun itu juga menyaksikan Chang menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri STI Jalur dan Laluan kali kedua, di mana Malaysia menawarkan kerjasama membentuk konsortium penyelidikan merangkumi AI, blockchain, ekonomi digital dan tenaga hijau.
Beliau turut melawat Institut Fizik Barat Daya (SWIP) di Chengdu untuk meninjau potensi teknologi pelakuran tenaga sebagai sumber tenaga lestari masa depan negara.
Di Hangzhou, beliau mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Sains dan Teknologi China, Yin Hejun, yang menyaksikan persetujuan terhadap beberapa inisiatif bersama.
Antaranya, enam projek penyelidikan bersama dalam teknologi penyimpanan tenaga, vaksin, angkasa, AI, blockchain dan bahan termaju; Program pertukaran 20 pakar STI antara Malaysia dan China selama enam bulan dan Penubuhan makmal bersama dalam bidang AI, bioteknologi, bahan termaju dan tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, Chang turut melawat Universiti Zhejiang serta dua syarikat teknologi terkemuka, BrainCo dan Deep Robotics, bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan robotik, selaras Pelan Hala Tuju Robotik Kebangsaan 2021–2030.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami