PUTRAJAYA: Malaysia menerajui usaha memperkukuh keupayaan ASEAN untuk menjamin bekalan ubat-ubatan penting secara kendiri serta mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan global yang mudah terjejas, sekali gus meningkatkan keselamatan kesihatan serantau.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia memainkan peranan utama dalam memacu inisiatif ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR) bagi memperkukuh kapasiti serantau serta menjamin akses berterusan kepada ubat-ubatan kritikal.
“Keselamatan kesihatan memerlukan kapasiti serantau lebih kukuh bagi menjamin bekalan ubat-ubatan penting tanpa terlalu bergantung pada rantaian bekalan luar yang mudah terjejas,” katanya ketika menyampaikan kenyataan Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Ke-77 bagi Pasifik Barat di Manila, Filipina, hari ini.
Dzulkefly berkata komitmen Malaysia dalam memperkukuh keselamatan kesihatan serantau turut dizahirkan kepimpinan negara dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Ke-17 dan inisiatif ADSSR.
Beliau berkata Malaysia turut melaksanakan reformasi struktur bagi membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan, dengan memberi penekanan kepada pencegahan penyakit, pengesanan awal dan transformasi kesihatan digital.
"Kita membawa saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) lebih dekat kepada komuniti, melaksanakan langkah fiskal seperti cukai gula, menerapkan pendekatan berasaskan tingkah laku bagi menggalakkan amalan hidup lebih sihat serta memperkukuh infrastruktur kesihatan digital untuk pengesanan awal," katanya.
Dzulkefly berkata Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia turut menjadi komponen penting dalam reformasi sistem penjagaan kesihatan negara yang mengintegrasikan saringan dan rawatan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan primer.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memastikan kesinambungan penjagaan, daripada saringan dan diagnosis awal sehingga rawatan serta pemantauan susulan bagi penyakit paru-paru berjangkit dan tidak berjangkit.
Beliau berkata kerajaan turut mengamalkan pendekatan menyeluruh dengan melibatkan penyedia perkhidmatan kesihatan, pertubuhan masyarakat sivil dan sektor swasta bagi menangani risiko kesihatan, meningkatkan kesedaran awam serta memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada golongan yang kurang mendapat kemudahan berkenaan.
Mengenai tadbir urus kesihatan global, Dzulkefly menegaskan komitmen Malaysia untuk menyokong reformasi sistem kesihatan antarabangsa dalam menghadapi ketidaktentuan kewangan dan ketegangan geopolitik.
Beliau berkata Malaysia, menerusi penyertaan dalam pasukan petugas bersama dengan Jepun di bawah kepengerusian bersama China, memperjuangkan penglibatan lebih inklusif bagi negara membangun dan Negara Pulau Kecil Membangun.
Beliau turut menegaskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu menterjemahkan saranan dasar kepada tindakan konkrit menerusi kerjasama yang memberikan manfaat nyata dan boleh diukur kepada masyarakat.
"Kepimpinan WHO, khususnya Ketua Pengarah dan Pengarah Serantau, perlu beralih daripada sekadar memberikan saranan kepada pelaksanaan tindakan, dengan memacu kerjasama yang menghasilkan manfaat nyata di lapangan," katanya.
Dzulkefly berkata Malaysia komited untuk merealisasikan rantau Pasifik Barat yang lebih berdaya tahan, dengan bekalan kesihatan terjamin dan penjagaan kesihatan pencegahan diperkukuh pada setiap peringkat, selain bersedia berkongsi pengalaman serta menterjemahkan solidariti serantau kepada tindakan konkrit.
Dzulkefly kini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Ke-77 bagi Pasifik Barat yang berlangsung dari 19 hingga 22 Okt dan dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus serta menyampaikan kenyataan Malaysia mengenai Belanjawan Program WHO di bawah Agenda 8.
Esok, Dzulkefly akan menyertai perbincangan meja bulat peringkat menteri mengenai Simpanan Stok Penting Kesihatan Serantau dan Mekanisme Perolehan Bersama di bawah Agenda 13, selain mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat Dr Saia Ma’u Piukala.
Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan dua calon bagi jawatan Ketua Pengarah WHO, iaitu Dr Hanan Mohamed Al Kuwari dari Qatar dan Budi Gunadi Sadikin dari Indonesia.
-- BERNAMA