Skip to main content

Malaysia

Malaysia perkukuh tadbir urus digital untuk bina kepercayaan, daya tahan - Fahmi

KUALA LUMPUR, 21 Julai -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 hari ini.  -- fotoBERNAMA
Fahmi menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang memperkukuh kerangka tadbir urus digital bagi memastikan perkembangan teknologi kekal selamat, berdaya tahan dan dipercayai, sambil menyeimbangkan inovasi dengan tanggungjawab lebih besar, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata usaha Malaysia itu dapat dilihat menerusi inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), peluasan rangkaian 5G di seluruh negara, pelaburan dalam infrastruktur kabel dasar laut serta pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi membangunkan ekosistem digital lebih selamat, berdaya tahan dan diyakini.

“Kepercayaan kini menjadi cabaran utama dalam era digital akan datang. Adakah rakyat boleh mempercayai platform mereka gunakan, maklumat mereka akses serta sistem digital yang semakin mempengaruhi kehidupan seharian mereka?

“Perkembangan teknologi berlaku jauh lebih pesat berbanding kebanyakan kerangka tadbir urus yang diwujudkan untuk mengawal selianya,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang berlangsung selama dua hari di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata kawal selia perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi melalui kerangka tadbir urus yang bersifat pantas dalam menangani perubahan pesat, sambil memastikan pendekatannya kekal sepadan bagi menggalakkan inovasi serta memberikan kepastian kepada pihak industri.

Beliau berkata ONSA menandakan perubahan pendekatan daripada sekadar bertindak balas terhadap kemudaratan dalam talian kepada usaha mencegahnya, menerusi pengukuhan kebertanggungjawaban platform serta peningkatan perlindungan terhadap kanak-kanak dan komuniti rentan.

Sementara itu, Fahmi berkata IRC 2026 bertemakan “Membentuk Era Digital Seterusnya: Kawal Selia, Daya Tahan dan Kepercayaan”, menyediakan platform kepada pengawal selia, penggubal dasar, pemimpin industri serta ahli akademik untuk membincangkan isu-isu utama yang mempengaruhi ekosistem digital global.

Beliau berkata perbincangan pada persidangan itu akan meliputi keselamatan dalam talian, tadbir urus data, kecerdasan buatan, komunikasi kuantum, sistem autonomi serta masa depan kawal selia, bagi menterjemahkan dialog kepada hasil dasar yang praktikal dan kerjasama antarabangsa lebih kukuh.

Pada sidang media kemudian, Fahmi berkata IRC yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya mula diperkenalkan ketika Malaysia beralih daripada model Rangkaian Pemborong Tunggal kepada model Rangkaian Dwi bagi pelaksanaan rangkaian 5G, sekali gus menarik minat pengawal selia antarabangsa yang ingin memahami pengalaman negara ini.

Beliau berkata IRC kemudian berkembang menjadi platform bagi pengawal selia dari pelbagai bidang kuasa untuk bertukar pandangan mengenai tadbir urus digital serta meneroka kaedah menangani kemudaratan dalam talian melalui kerjasama antarabangsa yang lebih erat.

“Pengalaman yang boleh kita timba dari negara-negara jiran dan yang lebih jauh, itu sangat penting bagi kita mengenal pasti kelompangan dalam undang-undang kita serta tindakan yang mungkin kita perlu ambil dalam negara,” katanya.

Fahmi turut berharap perbincangan pada persidangan itu akan membawa kepada tindakan susulan yang konkrit bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain, sambil memakluman hasil perbincangan itu akan dikongsikan dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), dengan Malaysia adalah Ahli Majlis berkenaan.

IRC 2026 anjuran MCMC merupakan platform yang menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri dan pakar dari seluruh dunia.

Fokus persidangan adalah terhadap ekonomi digital dan isu kawal selia dalam sektor komunikasi serta multimedia, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam dasar telekomunikasi global dan memperkukuh peranan MCMC dalam perbincangan kawal selia di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement