KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus melaksanakan langkah yang drastik dan berkesan, bagi memastikan perjuangan rakyat Palestin terbela, tegas Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Beliau berkata, antara langkah yang perlu dipertimbangkan kerajaan ialah, melantik seorang duta khas, seperti mana pernah dibuat ketika menguruskan soal Rohingya dahulu.

Mustafa yang juga Pengerusi Sekretariat Save Gaza Free Al-Aqsa berkata, biarpun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu aktif dan agresif menyuarakan pandangan terhadap kekejaman Israel di pentas dunia, namun ia seperti tidak mencukupi.

"Wisma Putra harus harus urus semua perkara dalam hal ehwal antarabangsa, tapi dalam hal Palestin kita perlukan seseorang seperti bekas menteri luar ke tokoh diplomat dan sebagainya yang berwibawa, disegani, dkenali peringkat antarabangsa, yang boleh mengetuai misi dan melobi sokongan.

“Kita perlu tingkatkan usaha melobi negara-negara Islam, negara OIC, negara yang menyokong perjuangan Palestin,” katanya.

Mustafa berkata demikian kepada Astro AWANI, selepas menyampaikan ucapan aluan bagi program Diskusi Meja Bulat - Selamatkan Gaza, Bebaskan Al-Aqsa: Ke Arah Palestin Merdeka dan Berdaulat, di Universiti Malaya, pada Sabtu.

Dalam pada itu Mustafa turut menyuarakan kehampaan apabila negara-negara pengeluar minyak, yang rata-ratanya negara Arab, tidak mampu bertindak seperti mana dilakukan pada 1973 dahulu.

"Persidangan OIC baru-baru ini saya kata 100 peratus gagal, kerana tidak ada resolusi dibuat yang membolehkan rakyat Palestin mendapat faedah.

"Kita harus ingat pada satu ketika dulu, pada tahun 1973, negara OPEC dan OIC telah mengenakan sekatan minyak terhadap Amerika Syarikat, kelam kabut Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah ekoran sekatan minyak tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beberapa ahli panel telah membangkitkan perkara yang Malaysia boleh lakukan, sama ada pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan, biarpun Malaysia bukan ahli kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di bawah Statut Rome.

Ketua Pasukan Peguam Penyiasat Yayasan MyAqsa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, The Hague, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad berkata, sebagai contoh, Malaysia boleh menggunakan kedudukannya sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) untuk terus menekan Israel.

“Malaysia ketika ini merupakan ahli HRC, tetapi kita tidak activate (kedudukan tersebut), yang sepatutnya  kita guna ini sebagai peluang yang terbaik untuk Malaysia, mengambil peluang untuk menggasak, to pressure for investigation, for whatever initiative bawah UNHRC. Undang-undang ini ada, tapi kita lihat enforcement tidak ada,” katanya lagi.

Sementara itu Pensyarah, Pusat Kajian Undang-undang Antarabangsa dan Siyar, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Salawati Mat Basir berkata, beliau kecewa dengan sikap yang ditunjukkan beberapa negara Arab.

“Pada saya apa yang terbaik, ialah kesatuan di kalangan negara-negara Islam. Deep in my heart, I regret Emiriyah Arab Bersatu (UAE) and Arab Saudi berkawan dengan Israel. You can quote me, I dont mind. Kalau dia nak halang masuk ke negara dia saya tak peduli, saya boikot dahulu.

I have already said to my husband no more Saudi Arabia, no Emirates Air, no visit to Dubai whatsoever. I cannot imagine hantar bantuan, kapal terbang tentera penuh ke Israel. Ia sepatutnya ke Palestin, bukan Israel,” tegasnya lagi.

Salawati berkata, kesemua ini menjurus ke arah keperluan ekonomi, di mana selepas penindasan ini reda, negara-negara Barat berkemungkinan akan memulakan penyaluran paip minyak dan gas melalui UAE, Arab Saudi, Gaza Palestin, hingga ke negara Eropah.

Dalam pada itu Salawati turut menerangkan kepentingan genjatan senjata, berbanding ‘humanitarian pause’ yang dilihat hanya sekadar membolehkan bantuan disalurkan untuk masa yang singkat sahaja.

“Kalau kita ceasefire, kita akan, the broker must be strong kerana siapa nak jadi broker untuk Israel? Hamas ok, Qatar will be on its side, Jordan akan ada dekat belakang, termasuk Turkiye. Tapi macam mana dengan Israel... siapa nak broker untuk dia? (Pada saya) ia harus datang dari tiga negara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu program diskusi meja bulat tersebut telah membincangkan beberapa resolusi untuk perhatian kerajaan dan dunia.

Antaranya ialah segerakan gesaan gencatan senjata; benarkan misi kemanusiaan ke Gaza, kerajaan Malaysia harus melantik duta khas dalam isu Palestin, serta memboikot produk Israel dan sekutunya, dan menolak cadangan penyelesaian dua negara kerana ia tidak memberi kelebihan kepada Palestin.