KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada sistem pendidikan berasaskan kelayakan kepada ekosistem pembangunan bakat yang dipacu kompetensi bagi memenuhi tuntutan ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang sedang pesat berkembang.
Ketua pegawai eksekutif Badan Penyelaras TVET Kerajaan-Industri (GITC) Tan Sri Jamil Bakri berkata institusi pendidikan dan industri perlu bekerjasama lebih erat lagi bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang diperlukan oleh majikan.
Jamil berkata bakat harus dianggap sebagai aset paling strategik Malaysia kerana ia menentukan kejayaan pelaburan, inovasi, produktiviti dan daya saing negara.
“Pendidikan tidak lagi boleh beroperasi secara berasingan daripada industri. Kedua-duanya perlu bekerjasama rapat supaya majikan dapat membantu membentuk kurikulum dan menentukan kemahiran masa depan,” katanya semasa sesi dialog “Bakat Progresif, Kemahiran Digital dan Tempat Kerja Masa Depan” pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, di sini, semalam.
Dialog itu dimudahcarakan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Murugappan Muthu.
Jamil berkata GITC sedang berusaha untuk merapatkan jurang antara keupayaan graduan dan keperluan industri melalui kerjasama lebih erat dengan majikan terutamanya dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti elektronik, semikonduktor dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Beliau menegaskan Malaysia juga perlu memperkukuh pembelajaran berasaskan kerja dengan menyediakan peluang kepada pelajar tahun akhir untuk menghabiskan masa sehingga setahun terlibat dalam industri bagi mendapatkan pengalaman praktikal sebelum memasuki alam pekerjaan.
“Pembelajaran sepanjang hayat, pensijilan modular dan kelayakan mikro juga harus diperluas bagi membolehkan pekerja terus menambah kemahiran dan meningkatkan kemahiran seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif NeX Academy Khim Tan berkata Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna teknologi AI dan menumpu kepada penciptaan aplikasi bernilai lebih tinggi yang mampu menjana pulangan ekonomi lebih besar.
Beliau berkata walaupun Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam bidang seperti pembuatan semikonduktor, tenaga dan infrastruktur pusat data, negara ini masih ketinggalan dalam membangunkan alatan AI dan aplikasi komersial tempatan.
Khim berkata walaupun AI akan terus berkembang, keupayaan manusia seperti pemikiran kritis, kreativiti, empati dan pertimbangan masih lagi sangat diperlukan di tempat kerja, sambil menambah bahawa organisasi perlu mengimbangi "kemahiran kuasa" dengan kecekapan digital.
Sementara itu, ahli pengarah lembaga dan naib presiden persekitaran perniagaan Huawei Malaysia Eric Hu berkata bakat pada masa depan bukan sahaja perlu memahami asas AI malah harus juga dilengkapi dengan keupayaan praktikal dalam bidang seperti pengkomputeran awan, keselamatan siber, tadbir urus AI dan aplikasi perusahaan.
Beliau berkata majikan semakin memerlukan graduan yang mampu mengintegrasikan pelbagai teknologi dan bukan hanya sekadar memiliki kepakaran dalam satu disiplin sahaja.
"Bakat pada masa depan harus memahami apa itu teknologi asas AI dan cara menggunakannya dalam aplikasi," katanya.
Hu berkata Huawei telah menjalin kerjasama dengan universiti, agensi kerajaan dan pemain industri untuk memperkukuh saluran bakat digital Malaysia melalui pelbagai inisiatif.
Ini termasuk kerjasama dengan akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), program penerajuan digital dan latihan AI, dengan syarikat itu menyasar untuk membangunkan 30,000 bakat AI tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Edisi ketiga IRC bertemakan “Membentuk Era Digital Seterusnya: Kawal Selia, Daya Tahan dan Kepercayaan”, yang bermula Selasa, merupakan platform global anjuran MCMC yang menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri dan pakar untuk membincangkan ekonomi digital dan isu pengawalseliaan dalam sektor komunikasi dan multimedia.
-- BERNAMA