NATIONAL

Malaysia perlu bina daya tahan ekonomi domestik - PM Anwar

Umavathi Ramayah 06/05/2025 | 10:30 MYT
Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL, di sini pada Selasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kekuatan luar, sebaliknya perlu membina daya tahan ekonomi domestik dan memperkukuh kapasiti rakyat, khususnya melibatkan golongan muda.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kekuatan luar dan perlu memperkukuh ekonomi tempatan untuk memastikan kestabilan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
  • Walaupun Malaysia masih menggunakan teknologi asing pada peringkat awal, usaha berterusan perlu dilakukan untuk membangunkan kaedah yang sesuai dengan keupayaan tempatan.
  • Anwar menekankan kepentingan memberi ruang dan dorongan kepada generasi muda untuk menguasai ilmu secara mendalam, serta memastikan negara mempunyai dasar yang jelas dalam memperkukuh kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan ini penting bagi memastikan Malaysia mampu berdiri dengan kekuatan sendiri serta kekal selamat dan stabil dalam menghadapi ketidaktentuan dasar ekonomi dunia.
"Saya rumuskan bahawa Malaysia kalau mahu maju dan yakin, bukan hanya terpaksa bergantung kepada luar. Kita harus bina kekuatan dalaman dulu. Yang itu kita sebut sebagai domestic economic resilience atau daya tahan ekonomi domestik," katanya berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL, di sini pada Selasa.
Menurut Perdana Menteri, walaupun negara pada peringkat awal mungkin masih memanfaatkan teknologi asing, usaha berterusan perlu dilakukan untuk membangunkan kaedah dan pendekatan tersendiri yang bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan tempatan.
"Begitu yang perlu kita kerjakan, apa sahaja yang mungkin. Walaupun kita gunakan teknologi asing di peringkat awal, tetapi kita harus mencari kaedah-kaedah baru,” jelas Anwar.
Tambah beliau, generasi muda memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju negara masa depan, dan mereka harus diberi ruang serta dorongan untuk menguasai ilmu pengetahuan secara lebih mendalam dan strategik.
Anwar turut menekankan pentingnya negara mempunyai dasar jelas yang menjurus kepada pembinaan kekuatan dalaman, agar Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran global.
#Anwar Ibrahim #daya tahan ekonomi domestik #memperkukuh kapasiti rakyat #golongan muda #terkini