KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membina keupayaan dalam teknologi kuantum mulai sekarang, khususnya dari segi pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta infrastruktur, bagi memastikan negara bersedia memanfaatkan teknologi strategik itu pada masa hadapan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.
Beliau berkata, pembangunan keupayaan berkenaan memerlukan tempoh bertahun-tahun walaupun teknologi kuantum belum digunakan secara meluas ketika ini.
“Untuk menggunakan teknologi strategik, negara memerlukan tenaga manusia yang memahaminya. Saintis, jurutera, penyelidik, pembangun perisian dan pemain industri perlu membina pengetahuan lebih awal. Teknologi boleh berkembang dengan pantas, tetapi bakat tidak boleh dibina dalam sekelip mata,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Chang berkata, teknologi kuantum menggunakan prinsip fizik kuantum untuk membangunkan kaedah baharu dalam bidang pengkomputeran, penderiaan dan komunikasi.
Dalam bidang pengkomputeran kuantum, teknologi itu berpotensi membantu menyelesaikan masalah kompleks, termasuk simulasi molekul, penemuan bahan baharu, pengoptimuman sistem, penyelidikan ubat-ubatan serta penyelidikan berkaitan keselamatan dan kriptografi.
Bagaimanapun, beliau berkata, potensi sebenar teknologi berkenaan bergantung pada kemajuan teknologi serta kesesuaian aplikasinya.
Menurut Chang, Malaysia tidak semestinya perlu membangunkan semua teknologi itu sendiri atau mengejar setiap trend. Sebaliknya, negara perlu memiliki keupayaan untuk memahami, menilai, mengadaptasi dan membangunkan teknologi yang penting kepada negara.
Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan perhatian kepada teknologi kuantum sebagai salah satu bidang teknologi strategik pada 2026.
Perbincangan mengenai cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kuantum dan Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NQAIC) turut memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan, R&D, infrastruktur serta penerokaan kes penggunaan yang relevan dengan keperluan negara.
“Teknologi kuantum mungkin teknologi masa depan, tetapi persediaannya perlu bermula hari ini,” katanya.
-- BERNAMA