MALAYSIA
Malaysia perlu jadi pasaran pengguna berdaya maju selain hab pengeluaran - Liew
Liew berkata bagi jangka panjang, Malaysia juga perlu menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap AS sebagai pengguna utamanya. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mewujudkan golongan kelas pertengahan yang lebih kukuh bagi memastikannya serta ASEAN tidak hanya dilihat sebagai hab pengeluaran, tetapi juga pasaran pengguna yang berdaya maju.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata bagi jangka panjang, Malaysia juga perlu menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat (AS) sebagai pengguna utamanya.
"Jika kita boleh bergerak ke arah itu, maka kita akan berdepan aturan dunia berbeza yang menyaksikan kewujudan pelbagai pusat pengeluaran mahupun penggunaan.
"Kita juga mahu terus kekal dalam kedudukan seimbang dalam geopolitik. Sebagaimana kita dapat mengemudi ketegangan geopolitik antara AS dan China dan sebanyak mana dapat mewujudkan ruang ketiga atau pertengahan dalam aspek itu, ini sememangnya sesuatu yang amat penting bagi ekonomi kita," katanya pada sesi panel bertajuk "Deciphering Malaysia's Investment Cycles" di Simposium Sasana 2025 di sini, pada Rabu.
Menjelaskan selanjutnya, Liew berkata ketika dunia berganjak daripada landskap unipolar yang dikuasai oleh AS kepada landskap yang berpotensi lebih multipolar, Malaysia juga perlu menerimaguna pendekatan "tiga pertengahan" untuk kekal berdaya saing dan relevan di pentas global.
Pendekatan itu merujuk kepada kedudukan di pertengahan rantaian bekalan dan peta teknologi, mengekalkan kedudukan sama dalam geopolitik serta memupuk golongan kelas pertengahan yang lebih kukuh.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Liew menekankan kepentingan untuk Malaysia mempunyai pelaburan menyeluruh membabitkan keseluruhan rantaian nilai.
Sebagai contoh, katanya, pelaburan dalam segmen pusat data bukan sekadar membina kemudahan itu semata-mata, tetapi turut melibatkan usaha pengoptimuman nilai daripada pelaburan berkenaan.
Ini, katanya, termasuk memacu lebih banyak pelaburan dalam tenaga boleh baharu agar pusat data mampu menjadi pemangkin peralihan hijau selain menggalakkan pelaburan lebih besar dalam rantaian bekalan dan mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik di dalam atau luar ekosistem pusat berkenaan.
Liew berkata usaha itu juga perlu merangkumi pelaburan dalam transformasi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh serta mewujudkan peluang untuk Malaysia membangunkan AI sendiri yang menjadi sebahagian daripada pendekatan terhadap keseluruhan rantaian nilai.
"Kita (kerajaan) juga mahu menangani isu permintaan palsu atau spekulatif kerana dalam pusat data itu wujud pembangunan bersifat sedemikian (yang tidak disokong oleh keperluan sebenar di pasaran).
"Apa yang kita mahu adalah pengendali tulen dengan kapasiti yang benar-benar wujud dalam sistem itu," katanya.
-- BERNAMA