MALAYSIA

Malaysia perlu segerakan penggunaan teknologi hijau dalam sektor air - PAAB

Bernama 02/12/2025 | 13:30 MYT
Jaseni turut menekankan kejayaan PBAPP dalam mengitar semula sisa loji rawatan sebagai contoh model yang berpotensi diperluas ke seluruh negara. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Malaysia perlu menyegerakan langkah penggunaan teknologi hijau dalam sektor air bagi menjamin kelestarian jangka panjang bekalan air negara, kata Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Datuk Seri Jaseni Maidinsa.


Ringkasan AI
  • Penggunaan teknologi hijau perlu dipercepatkan dalam sektor air untuk menjamin kelestarian bekalan air negara, kata Pengerusi PAAB.
  • PAAB mengarahkan unit kejuruteraan untuk meneliti teknologi hijau terbaharu bagi mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan kelestarian sistem bekalan air.
  • PBAPP berjaya mengitar semula sisa loji rawatan air sebagai contoh yang boleh diperluaskan ke seluruh negara; WaterTech Asia berperanan sebagai platform utama untuk galakkan teknologi hijau dalam sektor air.


Beliau berkata inisiatif teknologi hijau dalam sektor berkenaan perlu mengutamakan pengukuhan sistem bekalan air berbanding sekadar menumpukan kepada mitigasi banjir semata-mata.

"Kebanyakan projek PAAB, kami telah mengarahkan unit kejuruteraan untuk meneliti penggunaan teknologi hijau terbaharu dan matlamat utama kami ialah mengurangkan jejak karbon.

"Apabila kita beralih kepada teknologi hijau, kita meningkatkan kelestarian sistem bekalan air dan mengurangkan kos operasi. Kita mahu menjadikannya lebih cekap dan memastikan keseluruhan rantaian nilai bekalan air selaras dengan prinsip ekonomi kitaran," katanya ditemui pemberita pada Pameran dan Forum WaterTech Asia 2025 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hong Wai dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K.Pathmanathan.

Jaseni turut menekankan kejayaan PBAPP dalam mengitar semula sisa loji rawatan sebagai contoh model yang berpotensi diperluas ke seluruh negara.

Beliau berkata industri kini sedang menunggu keputusan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk klasifikasi semula sisa loji rawatan air sebagai buangan terjadual.

Ramai usahawan, katanya berminat untuk melabur dalam sektor terbabit terutamanya memandangkan negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia tidak mengklasifikasikan sisa tersebut sebagai buangan terjadual.

Mengenai WaterTech Asia, beliau berkata ia berperanan sebagai platform utama untuk menggalakkan pengendali air, vendor, pembekal dan inovator supaya mengutamakan teknologi hijau.

Sementara itu, Pathmanathan berkata WaterTech Asia 2025 menghimpunkan peserta pameran dari pelbagai negara.

Beliau berkata Pulau Pinang sebagai negeri yang mengalami tekanan bekalan air dengan permintaan tinggi, memerlukan pendekatan dan teknologi inovatif untuk menyokong ketahanan air jangka panjang.

Lebih 100 peserta pameran dari Indonesia, China, Kanada, Jerman dan Korea menyertai pameran dan persidangan selama tiga hari itu.

-- BERNAMA



#pelancongan #bekalan air #PAAB #teknologi hijau