Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu tambah baik kerangka keselamatan, perundangan atasi ancaman radikalisme digital

Kaedah merekrut oleh kumpulan ekstremis kini pantas beralih daripada saluran tradisional kepada platform digital moden, sekali gus memerlukan langkah pencegahan yang dikemas kini. - Gambar hiasan
Kaedah merekrut oleh kumpulan ekstremis kini pantas beralih daripada saluran tradisional kepada platform digital moden, sekali gus memerlukan langkah pencegahan yang dikemas kini. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menambah baik kerangka keselamatan dan perundangan bagi mengatasi ancaman serta ekstremisme ganas yang semakin berkembang, khususnya apabila platform digital mempercepat proses radikalisme dalam talian melibatkan golongan muda.

Pakar kriminologi yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, walaupun Malaysia mempunyai undang-undang keselamatan khusus, strategi membanteras keganasan juga perlu menumpukan kepada penglibatan proaktif selain penguatkuasaan undang-undang.

“Apabila membincangkan mengenai usaha membanteras keganasan ketika ini, kita ada undang-undang khusus berkaitan keganasan dan kesalahan yang berkaitan dengannya. Namun kita sedar, individu yang berniat melakukan jenayah sentiasa selangkah di hadapan. Kita sememangnya mempunyai undang-undang, tetapi beberapa aspek masih perlu diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam perbincangan bertajuk Adapting Malaysia’s Counterterrorism and Preventing and Countering Violent Extremism Response: Progress, Challenges and Reform Priorities yang dianjurkan oleh INITIATE.MY di sini, hari ini.

Haezreena Begum berkata, kaedah merekrut oleh kumpulan ekstremis kini pantas beralih daripada saluran tradisional kepada platform digital moden, sekali gus memerlukan langkah pencegahan yang dikemas kini bagi melindungi golongan rentan.

“Kaedah merekrut kini dilakukan menerusi pelbagai platform. Mereka menggunakan komunikasi enkripsi, mata wang kripto, permainan video dalam talian serta pelbagai kaedah lain, sama ada yang dapat kita bayangkan mahupun di luar jangkaan kita. Seseorang boleh terlibat dalam kegiatan jenayah seawal usia bawah 12 tahun,” katanya.

Bagi mengurangkan risiko yang semakin meningkat itu, Haezreena Begum berkata, strategi menyeluruh yang berteraskan intervensi awal, perlindungan golongan muda dan penglibatan komuniti amat penting, berbanding hanya bergantung kepada hukuman melalui sistem kehakiman.

Sementara itu, Ketua Unit Perancangan Akademik dan Pengajian Tinggi Jabatan Penjara, Superintenden Dr Muhammad Shafiq Mohd Sarif berkata, program rehabilitasi jabatan tersebut merangkumi pemulihan psikologi dan pendidikan semula agama yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan.

“Tiada rekod kes banduan dimasukkan kembali ke penjara bagi kesalahan berkaitan keganasan,” katanya.

Muhammad Shafiq berkata, pengurusan banduan muda yang terdedah kepada platform digital memerlukan pendekatan pendidikan moden dan latihan kemahiran berterusan bagi memastikan mereka dapat kembali menyesuaikan diri dengan masyarakat selepas dibebaskan.

“Bagi mengurus kumpulan demografi baharu ini, kami melaksanakan pendekatan proaktif, antaranya dengan mengintegrasikan literasi digital dan pendidikan berterusan di sekolah penjara menggunakan sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan bagi memastikan banduan membina sahsiah serta kemahiran untuk meneruskan kehidupan selepas dibebaskan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement