MALAYSIA
Malaysia pertimbang alternatif berikutan ketidaktentuan terima pesawat F/A-18 Legacy Hornet Kuwait

Kementerian Pertahanan sedang meneliti pilihan lain agar Malaysia tidak berada dalam kedudukan yang merugikan, termasuk menilai pesawat yang tersedia di pasaran. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Malaysia akan mempertimbangkan pilihan lain bagi memenuhi keperluan pertahanan udara negara susulan kelewatan penghantaran pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ringkasan AI
- Malaysia mempertimbangkan pilihan lain bagi memenuhi keperluan pertahanan udara susulan kelewatan penghantaran pesawat F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait yang bergantung kepada penerimaan jet baharu oleh negara itu daripada Amerika Syarikat.
- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penilaian sedang dibuat terhadap pesawat lain di pasaran agar Malaysia tidak berada dalam kedudukan yang merugikan, selain menilai kemampuan jet Sukhoi MKM sedia ada.
- Pembelian 18 jet FA-50 dari Korea dijangka diterima pada 2027 bagi menampung keperluan operasi TUDM, sementara pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa bermula tahun sama.
"Kalau mereka tidak dapat, maka mereka tidak boleh serah kepada kita. Jadi di sinilah timbul masalah berapa lama kita boleh tunggu untuk memenuhi keperluan kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Zakat Wakalah BHPetrol di Dewan Muafakat Taman Air Biru, di sini hari ini.
Beliau berkata justeru, pihaknya kini sedang meneliti pilihan lain agar Malaysia tidak berada dalam kedudukan yang merugikan, termasuk menilai pesawat yang tersedia di pasaran.
"Kalau kita tunggu sahaja, kita tidak akan buat apa-apa untuk pertimbangkan benda lain. Jadi di sinilah kita fikirkan kita perlu ada pilihan lain supaya kita tidak berada dalam keadaan yang tidak berpihak kepada kita," katanya.
Pada 26 Ogos, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris dilaporkan berkata pihaknya sedang meneliti setiap aspek, sebelum membuat keputusan muktamad rancangan pembelian jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa perjanjian itu telah dibatalkan, sambil menegaskan bahawa semua pertimbangan masih dalam proses penilaian ketika ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pembelian 18 jet pejuang FA-50 daripada Korea Aerospace Industries (KAI) yang bakal diterima pada 2027 dijangka akan menampung keperluan pengoperasian TUDM.
"Selain itu, kita juga akan melihat kemampuan jet pejuang Sukhoi MKM yang dimiliki ketika ini, sama ada ia mencukupi untuk keperluan pertahanan negara.
"Kajian terperinci perlu dibuat kerana bermula 2027, semua pesawat tempur ringan, Hawk 108 dan Hawk 208, akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami