[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Malaysia pertimbang import daging lembu dari Pakistan

Umavathi Ramayah 06/10/2025 | 05:32 MYT
Anwar (kanan) mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif, yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, di Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia sedang mempertimbang untuk mengimport daging lembu dari Pakistan melibatkan nilai perdagangan sehingga AS$200 juta (RM842 juta).


Ringkasan AI
  • Malaysia mempertimbang import daging lembu dari Pakistan dengan nilai dagangan dijangka mencecah AS$200 juta.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut baik cadangan tersebut kerana harga yang kompetitif dan komitmen Pakistan terhadap piawaian halal Malaysia.
  • Langkah ini dijangka memperkukuh kerjasama ekonomi dan pertanian antara kedua-dua negara serta memperluas jaringan perdagangan halal.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama ekonomi dan pertanian dengan negara Islam itu.

“Kita juga komited untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang lain yang turut melibatkan rakan-rakan di Malaysia, khususnya dalam sektor pertanian, di mana import beras dari Pakistan telah pun ditingkatkan.

“Selain itu, terdapat cadangan untuk memperluas eksport daging lembu dari Pakistan ke Malaysia dan kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di Kompleks Perdana Putra, di sini, pada Isnin.

Anwar berkata, Malaysia menyambut baik cadangan tersebut, khususnya apabila Pakistan menawarkan harga yang kompetitif bagi produk daging lembu berkenaan.

“Seperti yang saya katakan, dengan harga yang kompetitif, kita akan melakukan yang sewajarnya. Bahkan, menyebut nilai dagangan boleh mencecah AS$200 juta, yang saya anggap sebagai suatu cadangan yang amat baik,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Shehbaz pada sidang media bersama itu, menyambut baik keterbukaan Malaysia dan memberi jaminan eksport daging lembu ke negara ini akan dikawal selia sepenuhnya berdasarkan mekanisme harga pasaran serta mematuhi semua piawaian halal Malaysia.

“Kuota eksport ini akan tertakluk kepada mekanisme harga pasaran dan pensijilan halal seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia,” katanya.

Langkah itu dijangka membuka ruang kerjasama baharu di antara Malaysia dan Pakistan dalam memperkukuh sektor pertanian serta memperluas jaringan perdagangan halal di rantau ini.



BERITA LANJUT MENYUSUL



#Anwar Ibrahim #Muhammad Shehbaz Sharif #import daging lembu #Pakistan