MALAYSIA
Malaysia pertimbang penggunaan tenaga nuklear selepas 2030 - Fadillah

FADILLAh: Kami (kerajaan) belum membuat sebarang keputusan. Keputusan hanya akan dibuat selepas tahun 2030, selepas mengkaji keseluruhan peraturan, teknologi dan sebagainya. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjangnya.
Ringkasan AI
- Malaysia sedang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi tenaga jangka panjang, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas tahun 2030.
- Kerajaan telah menubuhkan organisasi tenaga nuklear (NPO) untuk mengkaji aspek teknikal, peraturan dan modal insan, serta bekerjasama dengan negara seperti Perancis, Rusia, AS, Korea Selatan dan China.
- Penggunaan tenaga nuklear akan dipertimbangkan sebagai alternatif kepada arang batu dan untuk memenuhi permintaan tenaga masa depan, namun pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan masyarakat dan jaminan keselamatan.
"Kami (kerajaan) belum membuat sebarang keputusan. Keputusan hanya akan dibuat selepas tahun 2030...selepas mengkaji keseluruhan peraturan, teknologi dan sebagainya.
"Ia hanya boleh dilaksanakan apabila orang ramai menerimanya (penggunaan tenaga nuklear). Keselamatan, kesejahteraan sosial dan kebimbangan terhadap alam sekitar...semuanya harus dinilai terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas sesi Luncheon Talk bertajuk "Memacu Peralihan Tenaga Hijau", di sini, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif nuklear Malaysia ketika ini masih dalam fasa analisis dan persediaan.
Malaysia sudah pun terlibat dengan rakan kongsi antarabangsa termasuk Perancis, Rusia, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China untuk mengkaji pilihan teknologi dan pematuhan peraturan.
Beliau juga menekankan kehadiran bakat (pekerja berkemahiran) rakyat Malaysia di luar negara, ramai bekerja di loji tenaga nuklear.
"Saya telah bertemu lebih 10 rakyat Malaysia yang bekerja di kemudahan nuklear di luar negara. Jika kita membuat keputusan untuk meneruskan penggunaan tenaga nuklear, kita akan membawa balik golongan pakar ini untuk menyokong pelaksanaannya.
"Institusi tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia juga sedang melatih pelajar dalam bidang berkaitan nuklear sebagai persediaan seandainya penggunaan nuklear diterima pakai pada masa depan," katanya.
Terdahulu, Fadillah ketika berucap pada sesi luncheon talk berkata, langkah untuk mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mendapatkan tenaga beban asas jangka panjang apabila Malaysia beralih daripada arang batu dan meningkatkan tenaga boleh baharu.
Beliau berkata, negara juga perlu bersedia untuk peningkatan mendadak dalam permintaan tenaga daripada pusat data, elektrifikasi dan sektor pembuatan termaju.
"Kita (Malaysia) memerlukan tenaga yang kukuh untuk masa depan. Nuklear adalah salah satu pilihan yang akan dikaji secara mendalam," katanya.
Kerajaan komited kepada tiada loji jana kuasa arang batu baharu dan gas asli cecair dan tenaga boleh baharu akan mendominasi campuran tenaga jangka terdekat.
Kerajaan telah komited untuk tidak membenarkan pembinaan loji jana kuasa arang batu baharu, manakala gas asli cecair dan tenaga boleh baharu akan mendominasi campuran tenaga dalam tempoh terdekat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami