MALAYSIA
Malaysia promosi pendidikan tinggi di Ekspo 2025 Osaka, Jepun - KPT

Zambry memaklumkan bahawa landskap pendidikan tinggi Malaysia terus berkembang sebagai hab serantau yang menawarkan program pengajian bertaraf antarabangsa dengan nilai tambah kekuatan tempatan. - Gambar fail/KPT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan Minggu Pendidikan Tinggi di Pavilion Malaysia, Ekspo 2025 Osaka di Jepun bermula 21 hingga 26 Julai ini untuk mengetengahkan kekuatan dan keunikan pendidikan tinggi negara kepada dunia.
KPT dalam kenyataan memaklumkan lebih 20 universiti dan agensi menyertai pameran itu bagi menonjolkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
"Penyertaan rasmi dalam Pavilion Malaysia yang dikelolakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertujuan mempamerkan kualiti akademik, inovasi penyelidikan serta keterbukaan institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia kepada kerjasama global," menurut kenyataan itu.
Menurut KPT, Minggu Pendidikan Tinggi yang bertemakan 'Study in Malaysia' telah dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir secara dalam talian pagi tadi."Program itu memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia di samping memperlihatkan pencapaian dan kejayaan IPT negara menerusi hasil inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi," menurut kementerian itu.
Menurut kenyataan itu, Zambry dalam ucapan memaklumkan bahawa landskap pendidikan tinggi Malaysia terus berkembang sebagai hab serantau yang menawarkan program pengajian bertaraf antarabangsa dengan nilai tambah kekuatan tempatan.
Selain itu, KPT turut memperkenalkan Edutourism Gateway iaitu sebuah gerbang digital untuk pelajar antarabangsa mengikuti model pembelajaran yang digabungkan dengan pelancongan sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.
"Malaysia merupakan destinasi pengajian pilihan bagi pelajar antarabangsa berdasarkan beberapa faktor utama seperti program pengajian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, kecemerlangan IPT dengan penarafan global, kos pengajian dan sara hidup yang berpatutan, jaminan keselamatan serta keunikan masyarakat majmuk yang harmoni," menurut KPT.
Sepanjang penganjuran Minggu Pendidikan Tinggi itu, pelbagai aktiviti interaktif, perkhidmatan, pameran inovasi dan penyelidikan, sesi perkongsian, pemeteraian kerjasama strategik dan promosi telah dirangka dengan penglibatan agensi di bawah KPT termasuk IPT awam dan swasta.
Delegasi KPT diketuai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.
Penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka yang menghimpunkan lebih 150 negara itu diyakini mampu menjana peluang kerjasama strategik baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi negara, selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai daya cipta, keterjaminan dan keyakinan dalam melahirkan bakat terbaik untuk masa depan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami