NATIONAL
Malaysia rancang perkenal undang-undang baharu selaras perkembangan pesat AI
Anwar ketika hadir ke Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 bagi sesi dialog bertajuk "Grid Pintar: Membina jambatan melalui kolaborasi AI berdaulat.- Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk memperkenalkan undang-undang baharu untuk mentafsir semula kedaulatan negara selaras dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ringkasan AI
- Malaysia akan memperkenalkan undang-undang baharu untuk mentafsir semula kedaulatan negara agar selaras dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
- Undang-undang ini bertujuan menyeimbangkan antara keselamatan negara dan kebebasan operasi teknologi seperti AI dan pengkomputeran awan.
- Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan AI mesti disertai dengan pendidikan, pemikiran kritikal, dan pemeliharaan nilai serta identiti tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaras dengan perubahan peranan tadbir urus dalam era digital, pemahaman tradisional mengenai kedaulatan yang direka untuk dunia pradigital perlu dikaji semula bagi menyesuaikannya dengan realiti teknologi baharu.
“AI ini sangat meluas, sangat menarik sehingga ia merangkumi seluruh spektrum tadbir urus dan kehidupan harian, dan kita sebagai pemimpin tiada pilihan melainkan cuba memahami teknologi baharu ini.
“Kerajaan wujud untuk melindungi kedaulatan, tetapi perkataan kedaulatan itu sendiri wujud sebelum teknologi baharu ini.
“Ia perlu dikaji semula, disesuaikan bagi melindungi keselamatan negara. Tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu membuka ruang baharu untuk membenarkan syarikat dan operasi berasaskan awan beroperasi dalam kawasan berdaulat, tetapi pada masa yang sama bebas sepenuhnya daripada undang-undang negara kecuali dari segi perlindungan sempadan dan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi panel di Forum Ekonomi ASEAN-GCC Fortune 2025 hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas lanjut, Anwar turut menolak kritikan bahawa pandangannya mengenai AI terlalu bersifat falsafah, sambil menegaskan bahawa Malaysia perlu bertindak dengan tegas.
Beliau berkata, walaupun AI menawarkan potensi besar, pembangunannya tidak boleh mengorbankan nilai tempatan dan kepelbagaian intelektual.
“Ada yang mengkritik saya dengan mengatakan saya terlalu falsafah dan terlalu memberi perhatian kepada pembangunan ini, (tetapi) kita tidak ada pilihan untuk memperlahankan (perkembangannya).
“Malah, untuk Malaysia, saya mahu memacu perkara ini, memastikan semua undang-undang berkaitan disediakan, menyelesaikan isu kedaulatan ini, dan saya bertekad untuk memperjuangkannya sekuat mungkin.
“Namun begitu, saya juga sedar bahawa pemahaman, nilai dan pengetahuan kita tidak boleh ditentukan oleh satu masyarakat atau satu sistem nilai sahaja. Jadi bagaimana kita selesaikannya? Melalui pendidikan, pemahaman dan pemikiran kritikal.
“Apa yang kita perlukan ialah rasa jati diri, maruah dan tujuan untuk masyarakat kita,” katanya.