MALAYSIA
Malaysia rekod aliran masuk FDI RM51.5 bilion pada 2024 - Jabatan Perangkaan
Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini berkata jumlah pendapatan yang diperoleh syarikat asing di Malaysia meningkat kepada RM99.8 bilion berbanding RM88.4 bilion pada 2023. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM51.5 bilion pada 2024, meningkat daripada RM38.6 bilion pada tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ringkasan AI
- Malaysia merekodkan aliran masuk bersih FDI sebanyak RM51.5 bilion pada 2024, meningkat daripada RM38.6 bilion pada 2023.
- Pendapatan syarikat asing di Malaysia meningkat kepada RM99.8 bilion, dengan pendapatan tertinggi daripada saham dana ekuiti dan pelaburan.
- Sektor perkhidmatan dan pembuatan menjadi penyumbang utama FDI, dengan aliran masuk terbesar dari Asia, khususnya Singapura dan Hong Kong.
Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini berkata jumlah pendapatan yang diperoleh syarikat asing di Malaysia meningkat kepada RM99.8 bilion berbanding RM88.4 bilion pada 2023.
Peningkatan ini disumbang terutamanya daripada pendapatan saham dana ekuiti dan pelaburan yang berjumlah RM95.9 bilion serta pendapatan faedah sebanyak RM3.9 bilion.
"Sehingga akhir 2024, kedudukan kumulatif FDI negara berjumlah RM995.5 bilion, meningkat daripada RM924.0 bilion pada tahun sebelumnya," katanya.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan berkata aliran FDI dalam bentuk ekuiti dan saham dana pelaburan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM28.0 bilion menyumbang kepada jumlah terkumpul RM832.9 bilion.
Instrumen hutang mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM23.5 bilion dengan nilai terkumpul RM162.6 bilion.
Mengikut sektor, jabatan itu berkata sektor perkhidmatan menyumbang aliran masuk FDI tertinggi sebanyak RM39.4 bilion dengan nilai terkumpul RM524.8 bilion dan diikuti sektor pembuatan yang menjana pendapatan FDI tertinggi bernilai RM54.6 bilion.
Pada 2024, aliran masuk FDI terbesar secara geografi adalah dari rantau Asia, berjumlah RM50.3 bilion, dengan Singapura dan Hong Kong sebagai penyumbang utama.
Pelabur dari wilayah ini juga mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM46.5 bilion.
-- BERNAMA
#aliran masuk bersih FDI
#Pendapatan syarikat asing di Malaysia
#pelaburan langsung asing
#Jabatan Perangkaan Malaysia