MALAYSIA

Malaysia rujuk Thailand, Jepun hasilkan buah-buahan tempatan sepanjang musim - Mohamad

Bernama 27/07/2025 | 10:33 MYT
Mohamad berucap pada Majlis Penutup Karnival FAMA Fest 2025 @ Selangor di Bukit Tinggi Klang hari ini. - Foto Bernama
KLANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjadikan Thailand dan Jepun sebagai rujukan dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap buah-buahan bermusim bagi pengeluaran sepanjang tahun.


Ringkasan AI
  • R&D buah bermusim rujuk Thailand dan Jepun: KPKM melalui DOA dan MARDI menjalankan penyelidikan untuk hasilkan buah-buahan bermusim sepanjang tahun, selari dengan kempen pemakanan hasil tempatan.
  • Majlis kerajaan wajib hidang buah tempatan: Kerajaan menetapkan buah-buahan tempatan sebagai hidangan rasmi majlis kerajaan bagi menyokong petani dan memartabatkan produk negara.
  • FAMA Fest 2025 capai jualan RM800,000: Festival empat hari di Selangor berjaya menarik 40,000 pengunjung dan 50 usahawan, menjadi pemangkin ekonomi agro tempatan.


Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha berkenaan yang dilakukan Jabatan Pertanian (DOA) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejajar dengan objektif Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan.

Mohamad berkata demikian ketika berucap melancarkan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan Peringkat Kebangsaan di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata KPKM amat serius dalam usaha memartabatkan kembali buah-buahan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata kerajaan juga telah memutuskan majlis rasmi kerajaan perlu dihidangkan dengan buah-buahan tempatan sebagai simbol sokongan terhadap pengeluaran petani tempatan serta memartabatkan produk sendiri.

"Ketika melawat ke Thailand sewaktu menjadi Menteri Pertahanan, saya dihidangkan makanan berasaskan buah dan sayur tempatan sepanjang berada di sana. Begitu juga Jepun, hampir seratus peratus tempatan," katanya.

Terdahulu, Mohamad menyempurnakan Majlis Penutup FAMA Fest 2025 @ Selangor yang berlangsung empat hari bermula 24 Julai lepas bagi mempromosikan industri makanan dan asas tani seperti buah-buahan, sayur-sayuran serta produk florikultur tempatan kepada masyarakat umum.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata FAMA Fest 2025 @ Selangor berjaya mencapai sasaran apabila mencatat nilai jualan melebihi RM800,000 melibatkan penyertaan 50 usahawan tempatan dengan lebih 40,000 pengunjung.

Beliau berkata sejak diperkenalkan pada 2017, FAMA Fest menjadi antara pemangkin pertumbuhan ekonomi usahawan tani apabila pada 2024 mencatatkan lebih 492,000 pengunjung melibatkan 949 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM8.8 juta di seluruh negara.

-- BERNAMA




#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #Mohamad Sabu #Buah-buahan tempatan #Thailand #Jepun