MALAYSIA

Malaysia, Rusia perkukuh hubungan strategik melalui Mesyuarat JC-ESTC Ke-4

Afiezy Azaman 11/11/2025 | 15:13 MYT
Mesyuarat dipengerusikan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov.
LANGKAWI: Malaysia dan Rusia terus memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia–Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) kali ke-4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Kedah, dari 10 hingga 11 November 2025.


Ringkasan AI
  • Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) kali ke-4 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, Kedah, dari 10 hingga 11 November 2025, memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.
  • JC-ESTC telah menjadi platform utama dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia sejak tahun 2015, merangkumi bidang ekonomi, sains, teknologi, dan budaya, dengan tiga acara utama pada edisi kali ini.
  • Mesyuarat ini mencapai beberapa hasil penting termasuk pemansuhan sebahagian keperluan visa dan penawaran Rusia untuk 40 biasiswa tahunan kepada pelajar Malaysia, serta memperkukuh kerjasama dalam tenaga, nuklear, perdagangan, pelaburan, aeroangkasa, industri halal, dan teknologi hijau.


Mesyuarat dipengerusikan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov itu disertai pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi serta wakil industri dari kedua-dua negara.

Mesyuarat dipengerusikan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov



JC-ESTC yang ditubuhkan sejak tahun 2015 menjadi platform utama dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia, merangkumi pelbagai bidang termasuk ekonomi, sains, teknologi dan budaya.

Edisi kali ini turut menampilkan tiga acara utama iaitu Persidangan Meja Bulat Malaysia–Rusia, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Dialog Mineral dan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Rusia 2025.

Dalam ucapannya, Zambry menegaskan bahawa mesyuarat ini melambangkan kemajuan signifikan dalam hubungan dua hala yang berteraskan persahabatan jangka panjang, saling menghormati serta aspirasi bersama kedua-dua negara.

"Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh bidang pendidikan tinggi, sains dan teknologi, tetapi turut membuka peluang dalam sektor tenaga, industri halal, kewangan Islam dan teknologi hijau yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

"Mesyuarat JC-ESTC ke-4 turut mencapai beberapa hasil penting termasuk pemansuhan sebahagian keperluan visa dan usaha menyambung semula penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mesyuarat JC-ESTC Ke-4 berlangsung di Langkawi



Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Rusia turut menawarkan sebanyak 40 biasiswa tahunan kepada pelajar Malaysia.

"Kedua-dua negara juga bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga dan nuklear secara aman serta meneroka potensi tenaga boleh baharu dan pengurusan sisa lestari.

"Inisiatif ini turut disokong dengan usaha memperluas perdagangan dan pelaburan dalam sektor aeroangkasa, industri halal dan teknologi hijau," katanya.

Sektor pendidikan tinggi turut menjadi fokus utama mesyuarat apabila Malaysia dan Rusia memperkukuh kerjasama menerusi 34 perjanjian strategik yang melibatkan 21 Memorandum Persefahaman (MoU), 10 Surat Niat (LoI) dan 3 Pelan Hala Tuju antara institusi pendidikan tinggi, jabatan, agensi serta syarikat dari kedua-dua negara.

Zambry berkata, Malaysia turut menantikan penganjuran Mesyuarat JC-ESTC ke-5 di Rusia pada tahun hadapan sebagai kesinambungan kepada kejayaan penganjuran kali ini di Langkawi, sekali gus memperkukuh momentum kerjasama strategik yang telah dibina antara Malaysia dan Rusia sejak sedekad lalu.




#Zambry Abd Kadir #Rusia