[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Malaysia salur bantuan kemanusiaan AS$150,000 kepada Pakistan, Afghanistan

Bernama 18/09/2025 | 12:45 MYT
Dalam kenyataan pada Khamis, Wisma Putra memaklumkan sebanyak AS$100,000 daripada tabung itu disalurkan bagi membantu mangsa banjir di Pakistan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia menyalurkan sejumlah AS$150,000 (AS$1=RM4.196) dalam bentuk bantuan kemanusiaan melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) bagi menyokong usaha bantuan mangsa banjir di Pakistan dan mangsa gempa bumi di Afghanistan.


Ringkasan AI
  • Malaysia salur AS\$100,000 bantu mangsa banjir di Pakistan dan AS\$50,000 untuk mangsa gempa bumi di Afghanistan melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri.
  • Sumbangan disampaikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada wakil Pakistan dan NGO Malaysia bagi Afghanistan.
  • Malaysia tegaskan komitmen terus menyokong bantuan kemanusiaan global tanpa mengira pengiktirafan politik.


Dalam kenyataan pada Khamis, Wisma Putra memaklumkan sebanyak AS$100,000 daripada tabung itu disalurkan bagi membantu mangsa banjir di Pakistan.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah.

"Malaysia menzahirkan solidariti bersama kerajaan dan rakyat Pakistan susulan banjir besar di Khyber Pakhtunkhwa, Punjab, Sindh dan Gilgit-Baltistan yang telah meragut nyawa, menyebabkan perpindahan besar-besaran serta menjejaskan infrastruktur dan sumber kehidupan.

"Malaysia berharap sumbangan ini dapat meringankan penderitaan mangsa dan membantu usaha pemulihan serta pemulihan semula," menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Pakistan pada waktu sukar ini, sambil menzahirkan solidariti ketika negara itu berusaha bangkit daripada bencana banjir dahsyat.

Sehingga kini, jumlah korban banjir di Punjab meningkat kepada 112 orang, dengan 4.7 juta penduduk terjejas, menurut Pesuruhjaya Bantuan Punjab Nabeel Javed.

Sementara itu, Malaysia turut menyumbang AS$50,000 melalui TBKLN untuk membantu mangsa gempa bumi di Afghanistan. Sumbangan itu disampaikan oleh Mohamad melalui Organisation of Malaysian Afghanistan Initiative (OMAI), sebuah pertubuhan bukan kerajaan Malaysia, pada hari yang sama.

"Malaysia menzahirkan solidariti bersama rakyat Afghanistan susulan gempa bumi baru-baru ini yang meragut nyawa, memaksa perpindahan besar-besaran serta menjejaskan infrastruktur dan mata pencarian.

"Walaupun Malaysia tidak mengiktiraf pentadbiran semasa di Kabul secara rasmi, kerajaan tetap komited untuk terus menjalin kerjasama konstruktif dengan rakyat Afghanistan.

"Melalui kerjasama dengan NGO Malaysia, bantuan ini dapat disampaikan secara berkesan dan selaras dengan prinsip kemanusiaan antarabangsa," tambah kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan Malaysia akan terus bersama masyarakat antarabangsa dalam menggerakkan bantuan kemanusiaan, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai warganegara global yang bertanggungjawab, komited terhadap keamanan, kestabilan dan maruah insan.

Di Afghanistan, ramai mangsa gempa bumi berukuran 6.0 magnitud masih kehilangan tempat tinggal dan terdedah kepada cuaca buruk menjelang musim sejuk.

Menurut laporan media, hampir 50 daripada 411 kampung yang terjejas masih belum dapat dicapai, sementara agensi PBB menyeru sumbangan sekitar US$139 juta bagi menyokong kira-kira 457,000 orang dalam tempoh empat bulan akan datang.

TBKLN yang ditubuhkan pada 2006 merupakan platform khusus untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada komuniti di seluruh dunia yang dilanda bencana.

Kementerian mengalu-alukan sumbangan daripada rakyat Malaysia, syarikat korporat, perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan kepada TBKLN. Maklumat lanjut di https://tabungbencana.kln.gov.my.

-- BERNAMA

#Malaysia salur bantuan kemanusiaan #Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri #Pakistan #Afghanistan