NATIONAL

Malaysia sambut baik kenyataan 23 negara penderma berhubung Gaza

Farhan Hakimi 22/05/2025 | 11:31 MYT
Malaysia juga menegaskan solidaritinya bersama rakyat Palestin dan menggesa negara-negara yang masih belum mengiktiraf Negara Palestin untuk berbuat demikian segera.
PUTRAJAYA : Malaysia menyambut baik kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Negeri daripada 23 negara penderma kepada Palestin pada 19 Mei lalu, yang menggesa agar bantuan kemanusiaan ke Gaza disambung semula serta-merta.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendekatan kolektif ini adalah langkah penting bagi menyuarakan semula isu bencana kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden dunia yang telah lama sepi.

Malaysia pada masa sama turut mengutuk tindakan Israel yang terus menghalang bantuan kemanusiaan bagi tujuan menyelamatkan nyawa.

Kata Wisma Putra lagi, Malaysia juga menentang sebarang tindakan yang menyebabkan kebuluran orang awam serta penyalahgunaan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang.

"Antara lain, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan bertindak memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta membenarkan akses tanpa sekatan kepada keperluan asas termasuk makanan, air dan ubat-ubatan.

"Malaysia juga menegaskan solidaritinya bersama rakyat Palestin dan menggesa negara-negara yang masih belum mengiktiraf Negara Palestin untuk berbuat demikian segera," kata kenyataan itu pada Khamis.

Jelas kenyataan itu, pengiktirafan bukan hanya bersifat simbolik, tetapi merupakan langkah penting untuk menamatkan penjajahan, memulihkan hak menentukan nasib sendiri, maruah, dan keamanan rakyat Palestin.

Ujarnya lagi, tanpa kehendak politik, tiada penyelesaian akan dicapai, sebaliknya hanya menyaksikan kitaran keganasan dan penderitaan berulang.



#Gaza #Israel #Wisma Putra #Putrajaya