KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Madrid yang mendapati penimbang tara 'tidak beretika' Dr Gonzalo Stampa bersalah menghina mahkamah serta dihukum penjara enam bulan dan menyifatkannya sebagai kejayaan penting prinsip kedaulatan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu juga akan membantu memelihara kesucian prosiding timbang tara antarabangsa sebagai alternatif kepada penyelesaian pertikaian.

Beliau berkata Malaysia juga yakin keputusan bersejarah ini akan menjadi faktor pencegahan kepada tindakan tidak beretika Kumpulan Penipuan Sulu.

"Kerajaan Malaysia akan terus memastikan bahawa kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara dilindungi pada setiap masa," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Azalina berkata mahkamah jenayah itu dalam keputusannya mendapati Stampa telah secara sengaja bertindak dengan matlamat menghalang perintah pembatalan daripada berkuat kuasa yang merupakan satu tindakan tidak wajar untuk dilakukan oleh seorang peguam.

Beliau berkata mahkamah itu seterusnya mendapati Stampa mempunyai kewajipan untuk mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid tanpa mengambil kira pandangan beliau mengenai kesahihan perintah tersebut.

"Pada 8 Jan 2024, Malaysia melakar satu lagi kejayaan bersejarah di Sepanyol selepas Mahkamah Jenayah Madrid memutuskan bahawa Stampa bersalah dalam prosiding menghina mahkamah yang dibawa oleh Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia.

"Mahkamah Jenayah Madrid telah menjatuhi hukuman penjara enam bulan ke atas Dr Stampa dan melarang beliau daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun kerana secara sedar dan sengaja mengingkari perintah dan keputusan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid," katanya.

Terdahulu, Azalina dalam hantaran di akaun X berkata usaha Kerajaan MADANI dalam menangani dan menghentikan penipuan Kumpulan Sulu adalah tidak sia-sia dan kerajaan nekad memperjuang kes itu demi menegakkan keadilan serta akan terus berusaha untuk membatalkan Award Akhir.

Azalina berkata sebelum ini pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid telah mengeluarkan perintah akhir yang membatalkan pelantikan Stampa dan semua tindakan beliau kerana berpendapat Malaysia telah dipanggil secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara itu.

[TERKINI] Gonzalo Stampa, penimbang tara Sepanyol dipenjara 6 bulan

Beliau berkata oleh itu, Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid telah memerintahkan supaya Malaysia dipanggil secara teratur dan prosiding itu dimulakan semula.

Percubaan kumpulan itu untuk merayu keputusan tersebut gagal sekali gus mengesahkan pembatalan pelantikan Stampa.

"Meskipun terdapat perintah akhir dan mengikat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid, Stampa terus mengingkarinya dan bertindak menukar lokasi timbang tara itu dari Madrid ke Paris untuk meneruskan prosiding yang penuh dengan penyalahgunaan proses dan mengeluarkan award akhir sebanyak hampir US$15 bilion terhadap Malaysia.

-- BERNAMA