Malaysia sambut baik pelaburan tenaga bersih, sedia bantu pemain industri -- Fadillah

Fadillah melancarkan inisiatif "R.A.C.E to ZERO" 2026, sebuah program di seluruh negara yang bertujuan untuk membina keupayaan, menghubungkan perniagaan dan mempercepatkan projek tenaga bersih. - Foto Facebook Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan pelaburan tenaga bersih dan bersedia untuk menyokong pemain industri yang ingin mengambil bahagian dalam usaha peralihan tenaga negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata pelabur hari ini mencari kejelasan dasar, kestabilan pengawalseliaan, tarif yang kompetitif dan akses kepada tenaga bersih berskala, yang mana, keempat-empat ciri tersebut sedang disampaikan PETRA secara konsisten.
"Kepada ketua pegawai eksekutif, pembiaya, pemaju dan inovator, Malaysia adalah terbuka, Malaysia bersedia dan amat komited," katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak Peralihan Tenaga Bersih 2025 (CETA) di sini hari ini.
Menurut beliau, Malaysia tetap komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan pengurangan 45 peratus dalam intensiti karbon menjelang 2030.
"Seperti yang kita lihat di seluruh Asia, adalah sesuatu yang jelas bahawa peralihan tenaga bersih kita akan menentukan daya saing kita untuk 50 tahun yang akan datang.
"Pilihan yang kita buat hari ini, sama ada dalam dasar, teknologi, pelaburan dan kerjasama, bukan sahaja akan membentuk industri tetapi sumber pendapatan serta legasi kita," katanya.
Fadillah menambah bahawa ASEAN mensasarkan saling hubung serantau sepenuhnya menjelang 2045, dengan Malaysia diposisikan sebagai hab pengimbang, negara transit dan penaung bagi perdagangan tenaga multilateral.
"Kita menyelaraskan kod, mengukuhkan pensijilan tenaga boleh baharu dan memperdalam pembiayaan mesra alam memandangkan rantau yang saling berhubung merupakan rantau yang kompetitif," katanya.
Sementara itu, beliau juga melancarkan inisiatif "R.A.C.E to ZERO" 2026, sebuah program di seluruh negara yang bertujuan untuk membina keupayaan, menghubungkan perniagaan dan mempercepatkan projek tenaga bersih.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


