NATIONAL

Malaysia sambut baik pembukaan kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur

Faida Rahim 02/05/2025 | 04:15 MYT
Anwar bersama Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu sempena lawatan rasmi empat hari pemimpin itu ke Malaysia. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Malaysia memperakui hubungan dua hala Malaysia-Kosovo yang kukuh serta menekankan komitmen dalam rundingan yang berlangsung pada hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga menyambut baik pembukaan Kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur yang dibuka pada hari ini.
Beliau berkata, pembukaan kedutaan itu adalah satu pencapaian penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan secara langsung memudahkan urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan, kebudayaan serta pelancongan.
“Kedutaan Kosovo ini merupakan satu pencapaian penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Kosovo.
“Ia pasti akan membantu dalam aspek perdagangan, pelaburan, pendidikan, budaya dan pelancongan antara kedua-dua negara.
“Namun, lebih kritikal adalah kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, supaya kita dapat memanfaatkan kekuatan Kosovo dan hubungan erat mereka dengan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi empat hari Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu ke Malaysia
Dalam masa sama, beliau turut menantikan lebih banyak kerjasama operasi teknikal termasuk perjanjian Time Charter Party (TCP) serta menyifatkan kerjasama ini bukan sekadar hubungan diplomatik biasa.
“Sebaliknya, Malaysia adalah sahabat sejati dan kami akan kekal komited melangkaui aspek diplomasi, pelaburan perdagangan dan hubungan bermakna antara kedua-dua negara.
“Pada pertemuan hari ini, kami turut membincangkan beberapa isu antarabangsa yang mana kami percaya pada isu kemerdekaan, hak asasi manusia termasuk isu Palestin hingga soal keamanan dunia,” katanya.
Terdahulu, Osmani yang dalam lawatan empat hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya mengadakan perbincangan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kesalinghubungan antara rakyat.
Dalam pada itu, Anwar hari ini menerima penghormatan tertinggi Kosovo iaitu 'Order of Independence', satu lagi pengiktirafan antarabangsa diberikan kepada Malaysia.
Anugerah berprestij itu adalah penghormatan awam tertinggi dikurniakan Kosovo kepada individu yang memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan negara berkenaan.
#Anwar Ibrahim #Kedutaan Kosovo #Hubungan dua hala #Kesatuan Eropah