MALAYSIA
Malaysia sambut baik persetujuan bersyarat Hamas kepada pelan damai
Mohamad ketika sidang media perkembangan terkini 23 peserta Malaysia Global Sumud Flotilla yang kini ditahan Israel di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara, Sepang, hari ini. -- fotoBERNAMA
SEPANG: Malaysia menyambut baik penerimaan bersyarat oleh Hamas terhadap 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkembangan itu dilihat sebagai titik tolak ke arah pendamaian yang berkekalan untuk Palestin dan rakyatnya.
"Alhamdulillah kita bersyukur kerana Hamas menerima (pelan itu) walaupun dengan bersyarat, maknanya tidak boleh dijadikan alasan bahawa Hamas tidak menerima 20 perkara ini untuk Gaza terus diganyang dan rakyat Palestin terus dibunuh," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini hari ini.
Mohamad berkata penerimaan itu turut mencerminkan kesediaan Hamas untuk mencari jalan penyelesaian damai.
Mohamad berkata beliau menjangkakan laluan bantuan kemanusiaan melalui Pintu Rafah dan Jambatan King Hussein akan dibuka sebaik pelan damai itu dilaksanakan.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat supaya berhubung terus dengan Wisma Putra supaya proses penyampaian bantuan dapat diaturkan dengan cepat dan tersusun.
"Pihak yang hendak membantu selepas ini elok pergi ke Pintu Rafah dan Jambatan King Hussein kerana apabila saja ia dibuka nanti, maka urusan menghantar bantuan akan berlaku dengan cepat," katanya.
Terdahulu, Hamas hari ini dilaporkan menerima sebahagian daripada rancangan gencatan senjata yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat itu, namun menyatakan beberapa perkara dalam pelan berkenaan masih memerlukan rundingan lanjut.
Pelan itu antara lain turut merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan pelan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.
Ia juga menetapkan penghentian permusuhan, pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat Israel dari wilayah itu, yang kemudiannya akan ditadbir sebuah pihak berkuasa teknokrat.
Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk sejak hampir 18 tahun lalu.
Sekatan itu diperketatkan pada Mac apabila rejim menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat-ubatan sekali gus mendorong krisis kebuluran.
Sejak Oktober 2023, hampir 66,300 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan udara Israel, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
-- BERNAMA