KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 34 lebuh raya di seluruh negara dilengkapi teknologi Lebuh Raya Pintar bagi meningkatkan keselamatan, melancarkan aliran trafik dan menambah baik kecekapan sistem pengangkutan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI) kamera litar tertutup (CCTV) pintar, sistem pengesanan dan amaran awal insiden berisiko tinggi termasuk kemalangan, pencahayaan solar, aplikasi mobiliti digital serta infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV).
“Malaysia turut mengutamakan pembangunan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Kebangsaan (NITMC) bagi memperkukuh pemantauan masa nyata, analisis data bersepadu dan penyelarasan pengurusan trafik.
“Satu lagi komponen utama ialah sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), yang membolehkan kenderaan melalui lokasi kutipan tol tanpa perlu berhenti di palang sekali gus mengurangkan kesesakan dan menjimatkan masa perjalanan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kerja Raya hari ini.
Perkara itu antara inti pati ucapan Nanta pada Sesi Meja Bulat Peringkat Tinggi sempena Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2026 di Gangneung, Republik Korea yang bermula hari ini dan berakhir pada 23 Okt.
Kongres bertemakan Beyond Mobility, Connected World itu menghimpunkan kira-kira 60,000 peserta dari 90 negara bagi membincangkan inovasi dan hala tuju pengangkutan pintar.
Mengulas mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan, Nanta berkata kerajaan memberi ruang kepada syarikat konsesi dan rakan industri memperhalusi model secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) di bawah kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Beliau berkata pendekatan itu mengambil kira daya maju teknologi dan komersial, kebolehoperasian antara sistem, integrasi pembayaran, keselamatan data serta perlindungan kepentingan pengguna.
“Tumpuan kini diberikan kepada pemuktamadan persediaan teknikal, operasi dan kerangka undang-undang sebelum dikemukakan untuk pertimbangan serta kelulusan muktamad kerajaan,” katanya.
Selain menyertai kongres itu, Nanta turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Menteri Kedua Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Republik Korea Jeong Eui-kyung bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan infrastruktur, teknologi pembinaan serta sistem pengangkutan pintar.
Bercakap kepada media Malaysia selepas itu, beliau berkata kedua-dua negara membincangkan usaha meningkatkan kerjasama pembangunan infrastruktur jalan raya dan lebuh raya termasuk penerapan teknologi serta kaedah pengurusan yang lebih cekap.
Nanta berkata pertemuan itu turut memperhalusi pelaksanaan kerjasama susulan memorandum persefahaman yang dimeterai sebelum ini antara LLM dengan Korea Expressway Corporation (KEC).
“Dalam mesyuarat dua hala itu, kita memperhalusi apa yang telah dicapai dan membincangkan bagaimana kerjasama antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan khususnya dalam industri pembangunan jalan raya, lebuh raya serta penggunaan teknologi dan kaedah terkini,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu akan diteruskan dengan LLM dan KEC dijadual mengadakan majlis susulan esok bagi meneruskan usaha memperkukuh kerjasama dalam sektor infrastruktur lebuh raya.
-- BERNAMA