Skip to main content

Malaysia

Malaysia sasar kerjasama lebih kukuh, berpandangan jauh dengan New Zealand - Pesuruhjaya Tinggi

[TB]_Abu Bakar Mamat High Commissioner of Malaysia to New Zealand_FB High Commission of Malaysia, Wellington
Abu Bakar (kiri) menyampaikan watikah pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baharu ke New Zealand kepada Gabenor Jeneral dan Ketua Komander New Zealand, Dame Cindy Kiro, di Rumah Kerajaan di Wellington pada Rabu. - Gambar Facebook High Commision of Malaysia, Wellington
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baharu ke New Zealand, Abu Bakar Mamat menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan New Zealand bagi meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dalam kenyataan, Abu Bakar berkata demikian ketika menyampaikan watikah pelantikan beliau kepada Gabenor Jeneral dan Ketua Komander New Zealand, Dame Cindy Kiro, di Rumah Kerajaan di Wellington pada Rabu.

Abu Bakar menyifatkan New Zealand sebagai rakan lama dan rakan kongsi strategik yang penting, sambil menyatakan bahawa lawatan Kiro ke Malaysia pada Oktober 2023 menandakan satu pencapaian utama dalam hubungan dua hala dan dorongan baharu untuk kerjasama lebih kukuh.

“Selama hampir tujuh dekad, kedua-dua negara menikmati perkongsian yang erat dan berterusan berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan kerjasama.

"Sepanjang tempoh saya di negara anda yang indah, saya akan berusaha untuk bekerja rapat dengan Kerajaan anda untuk membina asas kukuh yang diletakkan oleh pesuruhjaya sebelum saya, dengan tujuan untuk memajukan perkongsian yang lebih kukuh, lebih dinamik dan berpandangan ke hadapan antara kedua-dua negara," kata Pesuruhjaya Tinggi itu.

Abu Bakar turut menyampaikan salam Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Gabenor Jeneral, serta doa untuk kesihatan dan kesejahteraan yang berterusan.

Malaysia dan New Zealand ialah rakan kongsi strategik dan rakan rapat di Indo-Pasifik.

Selama bertahun-tahun, kedua-dua negara telah menjalin hubungan yang dinamik dan berterusan, disokong oleh kerjasama kukuh dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, agrimakanan, tenaga boleh diperbaharui serta penglibatan dalam forum serantau dan pelbagai hala.

Eksport utama Malaysia ke New Zealand terdiri daripada produk petroleum, produk perkilangan berasaskan minyak sawit serta produk elektrik dan elektronik (E&E), manakala New Zealand ialah pembekal utama makanan diproses, khususnya produk tenusu, serta produk pertanian lain ke Malaysia.

Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand berjumlah RM9.90 bilion (US$2.31 bilion).

Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027, memberikan peluang penting untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dan hubungan antara rakyat. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement